malaysiakini logo
story-image
ADS

Anak muda #KitaLawan menyambut baik kesediaan lebih ramai pihak yang berusaha mencari jalan untuk menuntut agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dibawa ke muka pengadilan.

Umum mengakui bahawa pendakwaan terhadap beliau merupakan satu-satunya jalan bagi merungkai kebrobokan dakwaan skandal-skandal 1MDB yang sekali gus mengembalikan hala tuju negara dan jati diri sebagai rakyat Malaysia.

Hakikatnya, ini tidak mungkin akan berlaku selagi beliau kekal berkuasa.

Kerana itu, anak muda #KitaLawan merupakan kumpulan yang pertama dan paling lantang tampil membawa tuntutan yang jelas dari sudut kepimpinan negara, hak asasi manusia, kebebasan bersuara, ekonomi serta kebajikan rakyat yang dimanifestasikan melalui himpunan-himpunan aman #KitaLawan, #UndurNajib, #BebasAnwar, #PecatIGP dan #KitaLawanGST.

Setelah melalui liku cabaran dan dugaan seperti ditangkap, tidur dalam lokap dan kini ramai aktivis #KitaLawan terpaksa berhadapan dengan tindakan mahkamah, kami anak muda terus kekal dan tidak akan tunduk kepada tekanan daripada sesetengah pihak yang mahu menutup kebenaran.

Desakan #UndurNajib bukan lagi sekadar suara marhaen anak muda, mereka yang dulunya sama-sama berkuasa telah menerima padahnya dan diketepikan, dan kini mula bersama-sama melaungkan slogan rakyat.

Namun, kami sedar bahawa berdepan dengan penindasan dan penyelewengan bukanlah sesuatu perkara yang mudah dan memerlukan penglibatan dan pengorbanan semua pihak.

Sementara ada mereka ini baru sibuk menyusun pentas 27 Mac 2016 untuk menggabungkan suara pemberontakan menentang Najib Razak secara tertutup, anak muda #KitaLawan akan mengambil pendekatan melangkaui percaturan politik semata-mata dan sebaliknya akan menuntut perubahan yang holistik, inklusif dan saksama.

Kita kekal raikan kebebasan bersuara dan pada masa yang sama anak muda #KitaLawan akan mengorak langkah mendekati orang ramai dalam usaha melawan kezaliman dan membela nasib rakyat kebanyakan.

Insya-Allah, anak muda #KitaLawan akan kembali beraksi.

Lihat Komen