Sebelum dikejutkan dengan bencana alam tsunami, rakyat Malaysia telah menerima pelbagai kejutan yang tidak kurang hebat gegarannya. Antara 'gegaran' yang amat ketara adalah kenaikan minyak secara mendadak dan kenaikan kadar tol berkala.
Kenaikan harga minyak berkait rapat dengan faktor permintaan dan penawaran bekalan minyak dunia, ditokok tambah dengan faktor risiko pengeluaran dan pemasaran. Selari dengan peningkatan harga minyak setong, seluruh dunia menghadapi kesan domino hatta kepada sesiapa yang tidak berkenderaan sendiri.
Setiap sen peningkatan harga runcit seliter, memberi kesan kepada setiap warga Malaysia sekalipun pesawah yang menggunakan tenaga haiwan untuk membajak. Sekiranya kenaikan harga minyak adalah di luar kawalan pemerintah, Malaysia bernasib baik kerana mempunyai satu elemen kenaikan harga berkala bagi memudahkan perancangan ekonomi masing-masing.
Kenaikan yang dimaksudkan adalah kenaikan tol dengan kadar minima 10 peratus bagi setiap tiga tahun, ataupun purata hampir empat peratus setahun. Tidak kira setinggi mana peratus kenaikan berkenaan, ia '... masih lagi yang terendah di rantau ini, berbanding dengan negara-negara jiran'.
Apalah yang perlu diperbesar-besarkan dengan kadar minima empat peratus setahun ini? Bagi sesetengah penggemar nombor, angka 4 adalah sesuatu yang ditafsirkan sebagai baik dan buruk. Walau apapun tafsirannya, secara amnya peratusan berkenaan semestinya tidak baik kepada pengguna lebuhraya Malaysia.
Sebagai perbandingan: kadar faedah simpanan adalah dalam lingkungan dua hingga tiga peratus, kadar pertumbuhan ekonomi negara sekitar enam hingga tujuh peratus, kadar inflasi mencecah dua digit, dan purata peratus kenaikan gaji sekitar lima peratus setahun.
Dengan kadar kenaikan hampir empat peratus setahun (10 peratus bagi setiap tiga tahun), satu istilah yang sesuai diberikan diberikan ialah 'penjajahan ekonomi Malaysia'. Kononnya banyak negara memuji kejayaan konsep penswastaan Malaysia, namun bagi mereka yang berfikiran waras, walau dengan apa ideologi politik sekalipun, menganggap inilah antara kegagalan besar projek penswastaan negara.
Kegagalan ini ditumpang bersama dengan kegagalan projek pembentungan negara, pengurusan sisa pepejal negara, hinggalah kepada penswastaan tandas awam negara. Kalau dulu, pejuang kemerdekaan diketuai Umno dan Perikatan berjuang habis-habisan menuntut kemerdekaan negara, kini siapakah yang akan membebaskan Malaysia dari bentuk penjajahan baru ini?
Istilah 'penjajahan baru' bukanlah sesuatu yang baru kerana ia mungkin lebih dikenali sebagai 'neo-colonialism'. Bayangkan, konsesi Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus) meliputi tempoh konsesi lebih 40 tahun, dan konsesi Alam Flora melebihi 25 tahun. Penjajahan ini akan berterusan untuk beberapa generasi melainkan satu dasar tegas dilaksanakan oleh kerajaan bagi membetulkan kesilapan pemimpin terdahulu.
Sejarah mencatatkan negeri yang dijajah terpaksa membayar bunga emas kepada negara asing setiap tahun, membayar cukai untuk dibawa balik penjajah ke negara masing masing, merelakan hasil bumi seperti minyak dan bijih timah diambil secara percuma untuk dijual di luar negara, dan juga 'menjual' bekalan air mentah kepada negeri yang menjadi anak emas penjajah pada kadar harga yang amat tidak munasabah.
Jika Pemuda Umno yang mewakili generasi muda turut merela dan mengalu-alukan kenaikan tol, maka siapakah lagi yang akan menjadi harapan kita?
