malaysiakini logo
story-image
ADS

Kau selalu kata Islam itu luas, ustaz-ustaz kita yang balik dari universiti-universiti Timur Tengah yang menyempitkan Islam yang luas ini.

Kau kata ustaz-ustaz graduan Timur Tengah ini hanya menghafal kitab dan tak tahu realiti sekarang. Dunia dah berubah kata kau.

Mak cik dan pak cik yang setiap hari ke surau, abang dan kakak yang setiap harinya menanti menadah kitab selepas Maghrib sampai azan Isyak hanya mengikut ustaz-ustaz burung belatuk penghafal kitab.

Tak padan dengan itu, kau kata ustaz yang balik dari Timur Tengah ini buta mata sampai tak tahu membezakan budaya Arab dengan Islam.

Aku nak tanya, apa budaya Arab yang ustaz kita bawa? Pakai jubah? Isbal? Pakai jilbab dan purdah? Tak bagi kau dancing-dancing dengan lelaki bukan muhrim? Tak bagi kau minum todi?

Itu budaya Arab yang kau maksudkan? Jadi apa yang kau nak? Pergi sepupu kau kahwin dia hidang bir dengan ais? Atau kau nak menteri-menteri kita minum wiski lepas habis mesyuarat kabinet? Kalau macam itu baru kau rasa Islam ini luas?

Kalau kau rasa kau tak nak tutup aurat macam ustaz-ustaz graduan lepasan Timur Tengah ini cakap, kau tak payah tutup. Ustaz-ustaz ni kan hanya penghafal kitab.

Memang tafsir kau pasal aurat sahaja yang betul. Surah al-Ahzab ayat 59 yang kau baca dan faham sahaja yang paling sahih. Apa yang ustaz-ustaz konservatif dan tak faham budaya Melayu itu hafal semuanya salah kau sahaja yang betul.

Oh kau kata lagi, dulu nenek moyang kita berkemban sahaja. Tak ada yang kena rogol pun. Kalau kau rasa nak berkemban, esok kau pergi pejabat pakai saja kain batik lepas, berkemban. Tak ada sesiapa marah kau.

Kau seorang pergi Kino?

Kau kata ustaz-ustaz kita tak dilatih berfikiran kritis dan kreatif. Orang-orang awam pun hanya mengikut kata ustaz tanpa berfikir.

Kau ingat kau seorang sahaja yang pergi Kinokuniya setiap bulan lepas dapat gaji? Atau kau sahaja yang beli buku atas talian dari Amazon dengan kos penghantaran yang kadang-kadang lagi mahal dari buku sebab kau nak buku itu sampai awal?

Kau senang-senang pandang rendah orang yang tak sekepala dengan kau. Kau label dia sebagai jumud. Kau salahkan orang awam, kononnya ikut sangat ustaz Timur Tengah. Kau ingat orang awam tak ada otak macam kau dan kawan-kawan liberal kau yang lain?

Oh, nanti kau kata lagi, kalau ada otak kenapa tak fikir? Kau nak semua orang fikir macam kau baru kau nak kata Islam itu progresif dan luas?

Otak kau lebih maju dan progresif sebab kau baca buku Tariq Ramadan? Kau pergi dengar ceramah Jasser Auda hari tu? Oh kau lebih sensitive gender sebab kau baca buku Fatima Mernissi dan Hussein Muhammad?

Jadi sebab itu pendapat kau lagi betul dari orang yang kau kata konservatif ni? Kalau aku kata aku baca dan jumpa dengan mereka tapi aku pilih untuk jadi 'konservatif', kau rasa macam mana? Kau nak tuduh aku bodoh dan tak faham seperti yang kau faham?

Kau kata “ al aslu fi al asya' al ibahah” tapi kau lupa “ al aslu fi al ibadah al tawqif” , “ sadd al dzarae”, “daf'ul mafasid awla min jalbi al masalih” .

Kalau kau nak aku boleh senaraikan kaedah-kaedah fekah yang aku dan ustaz-ustaz graduan universiti Timur Tengah hafal.

Apa? Aku jumud sebab aku nak hudud? Hudud dah tak relevan dan tak kena dengan maqasid syariah? Hudud bukan lagi wasail yang menepati objektif syariah? Jasser Auda lagi? Ha? Moratorium Tariq Ramadan? Aku baca semua itu.

'Aku pilih hudud'

Tapi aku pilih pendapat yang kata hudud itu wajib. Salahkan aku sebab pilih pendapat tu berdasarkan ilmu aku? Atau aku hanya betul bila aku pilih pendapat kau dan kawan-kawan kau?

Kau marah bila ada orang-orang jumud - bak kata kau - kata nama Allah khusus untuk orang Islam sahaja. Yang ini aku bersetuju dengan kau (Iyalah, takkan semua benda tak setuju memanjang).

Tapi janganlah kau senang-senang nak jumudkan dan bodohkan orang lain sebab orang itu tak sama pendapat dengan kau. Kau juga yang kata Islam tu luas. Bila pendapat orang tak sama dengan kau tiba-tiba Islam jadi sempit pula?

Aku dan ramai lagi orang yang kau label jumud, konservatif, ustaz penghafal kitab pun baca John Locke, Bentham, Robert Nozick dan yang lain.

Kami pun baca Sam Harris dan Karen Armstrong juga. Tapi kami ada otak kami sendiri dan kami pilih apa yang kami fahami dan selesa. Ijtihad kami.

Kau marah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kononnya memaksakan fahaman Islam kepada Muslim di Malaysia.

Tapi dalam masa yang sama kau punya perangai tak jauh beza dari JAKIM pun. Orang yang tak sama dengan kau semua konservatif, jumud, terpengaruh dengan budaya Arab dan memalukan Islam.

Kau kata Islam ini luas. Seluas mana? Kalau Islam ini luas takkan tak ada sedikit ruang untuk aku berbeza pendapat dengan kau?

Tak perlu tuduh orang lain liberal, konservatif, penghafal kitab, pembawa masuk budaya Arab dan lain-lain. Boleh tak kau chill saja?

Lihat Komen