malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
From Our Readers
Pulihkan rasa hormat pelajar universiti
ADS

Nama baru Perpustakaan Hamzah Sendut telah dilancarkan dengan rasminya oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dzulkifli Abdul Razak pada 10 Dis lalu. Sebagai mahasiswa USM, penulis merasa gembira dengan perubahan nama itu. Tindakan mengabadikan nama beliau pada perpustakaan ini disifatkan sebagai langkah yang tepat dan kena pada masanya.

Kerana peranannya sangat besar dalam pembangunan pendidikan negara. Sementara keterikatan pengaruhnya sudah sebati dengan USM, seumpama sebatinya pemikiran pengasas Akademi Iqbal dengan akademinya sendiri. Lazimnya, sesebuah pusat pengajian itu akan bersebati jiwa dan pemikirannya dengan pengasasnya sendiri.

Menurut Naib Canselor USM kedua, Hamdan Syeikh Tahir, Hamzah Sendut memulakan universiti dengan hanya RM400,000. Hal ini mengingatkan saya kepada pengasas dan pencetus International Institute of Islamic Thought and Civilization (Istac), Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Senibinanya mengkagumkan dan murah kerana al-Attas meluangkan masa yang banyak untuk meneliti bahan binaannya.

Hasil titik peluh keringat pemikiran beliau tertumpah di atas karyanya; Managing a University , sebuah buku yang pada pandangan saya, perlu diperhalusi mengenai kaedah pengurusan sebuah institusi pendidikan berorientasikan penyelidikan dan pengetahuan. Ia tidak akan sama dengan pengurusan bidang yang lainnya.

ADS

Al-Attas misalnya lebih menumpukan usaha mengumpulkan bahan-bahan rujukan dengan dana yang banyak demi memudahkan pelajar Istac membuat kajian dengan yuran yang lebih murah. Justeru, antara ciri-ciri pentadbir universiti yang unggul ialah mereka tidak menggunakan wang universiti ke arah tujuan yang sia-sia serta tidak mendatangkan keuntungan kepada majoriti pelajar.

Mereka tidak boleh meluluskan, menganjurkan apa-apa juga program yang melalaikan pelajar sendiri. Apatah lagi jika mereka melibatkan diri dalam program-program tersebut. Keupayaan seorang pentadbir universiti itu juga diukur melalui kebijaksanaannya dalam meletakkan seseorang tenaga akademik dan pegawai-pegawai universiti di tempat yang sesuai dengan kemampuan akademiknya.

Dalam hal ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Chia Kwang Chye (bekas Naib Presiden Persatuan Mahasiswa USM pada 1973-1974) menyifatkan Hamzah sebagai seseorang yang berwawasan, memahami keperluan sumber manusia dan sentiasa membuka peluang kepada orang yang terbaik untuk memegang sesuatu jawatan.

ADS

Mengulas mengenai sikap lemah lembut Hamzah Sendut, Dr Fatimah Busu dalam Berita Kampus USM bertarikh 14 Sep menyifatkan beliau sebagai seseorang yang mudah didekati dan selalu berbincang dengan pelajar universiti. Jiwa memberontak anak muda ditangani dengan lemah lembut dan tidak menggunakan kekerasan.

Ada logiknya pendekatan ini diambil oleh pentadbir-pentadbir universiti dalam menangani permasalahan gejolak jiwa mahasiswa. Semasa menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec), perdana menteri kita menegaskan bahawa pendekatan kerajaan dalam menangani isu militan adalah dengan cara memenangi hati mereka.

Jikalau pendekatan kepada militan dapat ditangani dengan lemah lembut, wajarlah pentadbir universiti menggunakan kebijaksanaan walaupun perundangan yang sedia ada boleh dikenakan ke atas pelajar. Adalah baik jika universiti dapat pulihkan rasa hormat di kalangan pelajar dengan pendekatan 'Mesra Pelajar' seperti dahulu.

Alam Melayu sangat kaya dan tidak pernah sunyi dengan pemikiran dan falsafah mengenai didikan kepada golongan pelajarnya. Selagi mana bergelar pelajar, seseorang itu tidak wajar dikenakan hukuman. Ambil sebuah pantun popular sebagai contoh:

Buah cempedak di luar pagar,

Ambil galah tolong jolokkan,

Saya budak baru belajar,

Silap dan salah tolong 'tunjukkan'.

ADS

Adakah mereka berkata: 'Silap dan salah, tolong jatuhkan hukuman?' Di sinilah letaknya usul kepada asal falsafah bangsa Melayu yang sejati, bertamadun Hadhari. Generasi muda yang jernih hati dan suci akal pemikirannya meminta dengan rendah hati agar mereka diberi petunjuk, bimbingan, nasihat dan panduan agar dibetulkan tindakan. Bukan dengan hukuman, ugutan serta ancaman.

Atau apakah universiti bakal mewajibkan kursus baru universiti; 'Pengantar Auku' untuk lebih memahamkan mahasiswa mengenai isi kandungan Auku di masa depan? Atau barangkali juga Kementerian Pengajian Tinggi boleh memikirkan langkah-langkah bagi menyusun Kod Etika Pentadbir Universiti supaya hak-hak pelajar seimbang dengan pihak universiti.

Justeru, sebelum kita membahaskan Islam Hadhari, sewajarnya juga kita turut membahaskan Melayu Hadhari terlebih dahulu agar pemikiran bangsa Melayu benar-benar diselaraskan kepada Sulalatus Salatin dan lain-lain akar sumber kekuatan Melayu yang tidak bercanggah dengan Islam.

Amalan menegur secara sihat perlu disuburkan dalam universiti. Autonomi yang diberikan kepada universiti adalah aset kepada kebebasan akademik yang dianugerahkan kepada pensyarah. Dalam hal ini, kita perlu merenung kembali wasiat seorang raja Acheh terulung. Iskandar Muda berpesan kepada zuriatnya dalam Qanun al-Asyi Darus Salam. Wasiat kedua berbunyi, janganlah raja-raja menghinakan alim ulama dan yang ahli akal bijaksana. ( Malaysia Kita : ms.271, Intan)

Mengapakah debat politik di Malaysia tidak sampai ke tahap itu sehingga ke kampus? Adakah boleh Debat Perdana yang disiarkan secara langsung di RTM boleh kita masukkan ke dalam universiti? Nampaknya, ada perbezaan ketara antara universiti negara membangun dan negara maju.

Perbahasan mengenai peranan dan fungsi universiti di negara membangun masih panjang, menarik dan yang pastinya ia akan berterusan. Namun, kalau kekangan awal ini tidak boleh ditembusi, sampai bilakah kita dapat membincangkan keunikan universiti ke tahap yang lebih baik? Perdebatan mengenai pentadbir universiti pula bagaimana?


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.