malaysiakini logo
story-image
ADS

Izinkan saya mengucapkan tahniah dan syabas sempena setahun Pak Lah menjadi perdana menteri yang kelima. Setahun berlalu telah memberikan cukup masa untuk Pak Lah menyelidik serta mengambil tahu apa yang perlu dilakukan untuk memacu negara ke arah destinasi cemerlang, gemilang dan terbilang.

Tahun-tahun yang berikutnya ialah untuk memastikan setiap perancangan dan janji yang telah diucapkan, dilaksanakan mengikut kebijaksanaan Pak Lah. Konsep Islam Hadhari yang diketengahkan nampaknya masih belum menembusi sistem pentadbiran kerajaan itu sendiri.

Selain penganjuran seminar dan garispanduan yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), tidak kedengaran usaha-usaha dilakukan di peringkat jentera pentadbiran kerajaan untuk menterjemahkan konsep Islam Hadhari dalam pelaksanaan program dan aktiviti khususnya penyediaan Rancangan Malaysia Kesembilan.

Bagaimanakah rupa bentuknya perancangan dan pelaksanaan projek mengikut Islam Hadhari? Masihkah serupa dengan sistem dan cara lama pelaksanaan program dan projek pembangunan dijalankan? Apakah modul pembangunan yang cuba diketengahkan untuk dijadikan panduan pelbagai kementerian dan jabatan yang terlibat?

Sudah sewajarnyalah pihak pengurusan tertinggi kementerian dan jabatan kerajaan menghayati konsep pembangunan Islam Hadhari itu dan memulakan usaha mengadakan sesi percambahan fikiran bagi menetapkan halatuju jabatan dan kementerian masing masing.

Apa yang dikhuatiri nanti, tanpa garispanduan dan persiapan rapi, pelaksanaan projek pembangunan masih mengikut resepi lama yang umum mengetahui banyak kegagalan, akibat perkara perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

Sindrom 'doing business as usual' dan kerenah birokrasi, akan membantutkan harapan Pak Lah terhadap penambahbaikan dalam sistem penyampaian seperti yang diharapkan.

Indikator mengukur pencapaian pelaksanaan program juga mestilah melambangkan konsep Islam Hadhari itu sendiri yang telah memberi penekanan kepada 10 aspek utama penting antara lain ialah pemuliharaan alam sekitar, keadilan sosial, kesaksamaan, keseimbangan, 'sustainability' dan sebagainya. Unsur-unsur ini mestilah menjadi teras kepada pelaksanaan program pembangunan.

KPI (Kunci Penunjuk Prestasi) bagi mengukur serta menilai kejayaan sesuatu program atau projek, hendaklah dirangka merentasi sektor pembangunan fizikal, ekonomi, insan, pemuliharaan alam sekitar dan sebagainya. KPI juga akan dijadikan petunjuk kadar pembangunan tahunan selain daripada GDP dan GNP.

Kita tidak mahu nanti Malaysia begitu pesat membangun dari aspek pembangunan fizikalnya tetapi aspek pembangunan insan dan kerohanian dan kemusnahan alam sekitarmembantutkan prestasi dan pencapaian yang diharapkan.

Bagi memantapkan sistem pentadbiran negara, pemakaian serta penggunaan KPI ini hendaklah dilakukan secara menyeluruh, tidak kira agensi pengutkuasaan, pemungut hasil dan cukai ataupun pemberi perkhidmatan yang lain.

Agensi penguatkuasa hendaklah menggubal serta merumuskan 'penunjuk prestasi' bagi agensi masing masing dan menetapkan sasaran pencapaian tahunan.

Kegagalan menepati sasaran pencapaian menunjukkan pihak pengurusan jabatan ataupun kementerian gagal memantau tugas masing-masing dan sewajarnyalah dipertanggungjawabkan. Kita tidak mahu peruntukan yang telah diagihkan kepada jabatan berkaitan, dibelanjakan tanpa pulangan faedah seperti yang telah ditetapkan oleh KPI.

Kita juga tidak mahu melihat beratus ratus kajian dijalankan dengan perbelanjaan bilion ringgit tetapi hasilnya tinggal perakauan dan laporan tebal mengisi ruang pejabat masing masing.

Terdapat juga strategi pelaksanaan program yang dilaksanakan secara tidak terancang dan ini juga mempengaruhi pencapaian KPI.

Ini mungkin disebabkan oleh elemen-elemen salah pengurusan atas kepentingan peribadi. Contohnya, tidak melaksanakan pemeriksaan kilang dan melakukan penguatkuasaan tetapi diganti dengan program atau kempen pendidikan dan pencegahan umpamanya.

Strategi ini dijadikan alat berkrompomi dengan pihak yang dikawal (regulated) dan mengabui mata pihak tertinggi pengurusan serta orang awam seolah-olah pihak jabatan berkenaan serius melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Penurunan statistik tahunan mengenai bilangan kilang yang dilawatperiksa dan diambil tindakan penguatkuasaan serta penurunan mutu kualiti alam sekitar akan menjadi persoalan tentang akauntabiliti jabatan tersebut dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

Semoga Pak Lah akan terus memberi inspirasi dan wawasan dengan landasan yang baik bagi mengemudi negara ke arah pembangunan dan pemodenan negara.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.