malaysiakini logo
story-image
mk-logo
From Our Readers
Pemikiran politik Melayu masih dijajah
ADS

Merujuk kepada tulisan Jangan ikut resmi Kassim Baba... , Anak Omar bersungguh-sunguh sekali berusaha mengingat betapa besarnya jasa pemimpin politik Melayu terutamanya di dalam memperkenalkan DEB dan Islamisasi di negara kita.

Bagi saya, pemikiran orang Melayu seperti Anak Omar inilah yang amat menyedihkan. Pemikiran orang Melayu seperti ini gagal melihat ke depan, tetapi lebih suka menoleh ke belakang.

Mereka sering membandingkan pencapaian hari ini dengan kehidupan zaman dahulu. Bagi saya ia adalah perbandingan yang cukup memualkan untuk ditelan oleh manusia Melayu yang mempunyai tahap pemikiran politik yang lebih maju.

Penjajah British juga boleh mendakwa mereka telah membela nasib orang Melayu kerana taraf hidup orang Melayu di zaman British jauh lebih baik berbanding kehidupan mereka di zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu.

Di zaman British memerintah, ada orang Melayu sudah pandai memandu kereta dan belajar ilmu kedoktoran, sedangkan di zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu, sultan pun terpaksa naik gajah dan masih mengharapkan pawang dan dukun untuk menyembuhkan penyakit.

Kalaulah pemikiran seperti ini yang ingin diketengahkan oleh Anak Omar, nescaya orang Melayu tidak perlu berjuang menentang penjajah British kerana British telah menubuhkan Maktab Melayu Kuala Kangsar, Universiti Malaya, dan Keretapi Tanah Melayu.

Malah, Stesen Keretapi Kuala Lumpur dibina oleh British mengikut senibina Islam yang sekali imbas seperti sebuah masjid. Bukankah bangsa penjajah ini juga yang membangunkan industri pertanian dengan memperkenalkan tanaman getah dan kelapa sawit?

Bukankah bangsa penjajah ini juga yang mula menubuhkan pasukan polis untuk

menjaga ketenteraman rakyat? Bukankah bangsa penjajah ini juga yang mula membina rangkaian jalan keretapi dan jalanraya? Begitu juga dengan pembinaan pelabuhan dan lombong-lombong besar dan moden.

Bukankah bangsa penjajah ini juga yang telah menghantar ramai anak Melayu belajar di England dan pulang menjadi pegawai berpangkat besar? Bukankah bangsa penjajah ini juga yang melatih anak-anak muda Melayu ilmu ketenteraan?

Apakah Anak Omar mahu mengatakan kalau tidak kerana jasa bangsa penjajah ini, orang Melayu sampai sekarang masih lagi cuma pandai bermain keris sahaja, sebagaimana beliau mahu mengandaikan kiranya tiada DEB maka tidak ada orang Melayu yang mampu menjadi tokoh korporat?

Saya menyatakan ini bukan untuk menghina atau merendahkan perjuangan mendapatkan kemerdekaan. Bukan juga untuk merendahkan usaha pemimpin negara melaksanakan dasar DEB. Apa yang saya mahu tekankan ialah, pendidikan politik di kalangan masyarakat Melayu sekarang ini cukup menyedihkan dari zaman penjajahan British dahulu.

Di zaman British dulu, orang Melayu tidak diajar untuk berterimakasih dengan kerajaan dengan projek-projek pembangunan yang dibuat. Tidak pernah sekalipun British menaikkan papan tanda "Satu Lagi Projek Kerajaan British di Tanah Melayu" walaupun mereka turut membina sekolah, hospital, universiti, balai-balai polis, dan bangunan-bangunan pentadbiran kerajaan.

Orang Melayu zaman itu lebih memikirkan tentang persoalan hak mereka sebagai rakyat peribumi. Mereka lebih memberi perhatian tentang maruah bangsa dan keadilan terhadap kemanusiaan. Mereka tidak hairan dengan gula-gula politik pembangunan. Sebab itu mereka memperjuangkan sebuah negara yang merdeka.

Tetapi pemikiran politik Melayu hari ini sudah terbalik. Mereka tidak lagi peduli dengan hak mereka sebagai rakyat yang bermaruah yang perlu dihormati oleh pemerintah. Mereka mudah berpuas hati dengan maklumat sebelah pihak yang disuapkan oleh media perdana.

Malah para perwakilan parti politik Melayu menjadikan agenda pemilihan pucuk pimpinan parti sebagai lombong emas bermusim. Orang Melayu tidak mungkin boleh maju dengan pemikiran politik seperti ini.

Mungkin bagi Anak Omar ini bukan isu besar berbanding pelbagai agenda, dasar, dan program membangunkan orang Melayu yang kononnya diperjuangkan oleh pemimpin politik Melayu. Hakikatnya, sekiranya diperhalusi, apa yang dikatakan agenda, dasar, dan program pembangunan Melayu hanyalah indah khabar dari rupa.

Saya mencadangkan agar Anak Omar pergi melawat kota A Famosa di Melaka dan menegakkan papan tanda "Satu Lagi Projek Penjajah Portugis di Tanah Melayu" di depan kota tersebut.

Dengan berbuat begitu, saya berharap beliau faham bahawa beberapa tindakan pemimpin politik Melayu hari ini yang menutup minda rakyat dengan gula-gula pembangunan yang tak seberapa hanyalah sekadar kesinambungan kepada agenda penjajah.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.