Saya merujuk kepada surat saudara Kelantan71 yang bertajuk Jangan anjur konsert lagi, Pemuda PAS.
Bagi saya, kritikan Kelantan71 adalah jumud dan tidak memberikan imej yang baik mengenai gerakan Islam, khasnya PAS, yang berniat ikhlas dalam menganjurkan sebuah konsert yang walaupun banyak kekurangan namun mempunyai mesej positif, sesuatu yang tentunya amat berbeza dengan kosert-konsert lain yang penuh maksiat dan tidak produktif.
Mengenai hukum muzik di dalam Islam, adalah jelas ia perkara khilaf di mana ada sesetengah ulama mengatakan ianya haram. Namun saya cenderung untuk mengikuti jumhur ulama yang mengatakan muzik dibolehkan, selagi mana ia mempunyai mesej positif dan tidak melalaikan pendengarnya daripada menunaikan kewajiban mereka sebagai orang Islam.
Berikut saya turunkan petikan daripada sebuah artikel mengenai 'Muzik Dalam Islam' tulisan Wan Muhammad Wan Sulong dari Universit Yarmouk yang merumuskan perkara ini seperti berikut:
- 'Di zaman kini, penggunaan muzik begitu berleluasa. Muzik digunakan dalam media massa elektronik. Di TV, muzik digunakan untuk rancangan yang berfaedah dan tidak berfaedah.
Begitu juga dengan radio. Di sini kita dapati penggunaan muzik telah berubah daripada zaman dahulu. 'Uruf dan adat telah bertukar sebagaimana kata Dr Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya 'Al-Mufassal' .
Oleh kerana perkembangan dunia seni yang begitu pesat, muzik kini tidak lagi menjadi syiar kepada majlis-majlis arak, ahli fasiq dan maksiat semata-mata.
Misalnya, apabila kita mendengar muzik dalam rancangan berita atau muzik yang digunakan untuk berpindah dari satu program ke program lain, adakah ia mengingatkan kita kepada majlis-majlis arak atau majlis-majlis ahli fasiq dan maksiat?
Sudah tentu jawapannya tidak. Malah muzik di zaman ini berfungsi mengikut tujuan dan suasana ianya digunakan. Kerana itu, penulis berpendapat penggunaan muzik di zaman kini adalah harus tetapi mestilah meraikan syarat-syarat berikut:
i. Niat pengguna dan pendengar hendaklah betul berdasarkan kaedah Al-Umur Bimaqasidiha iaitu sesuatu urusan adalah berdasarkan maksudnya
ii. Tujuan dan suasana penggunaan muzik tidak melanggar batas-batas Allah SWT iaitu mestilah digunakan untuk tujuan-tujuan yang mulia.
iii. Mengelak daripada menyerupai golongan fasiq, maksiat dan kufur iaitu menjaga adab-adab Islam dalam penggunaan muzik. Tidak boleh menggunakan muzik-muzik tertentu yang hanya digunakan oleh golongan fasiq dan fasad seperti rentak rock dan yang seumpama dengannya. Nabi SAW bersabda: 'Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, ia seperti tergolong dalam kaum tersebut.'
Maka adalah jelas bahawa Kelantan71 gagal untuk mempertimbangkan perkara-perkara seperti di atas dan rasional mengapa Dewan Pemuda Pas Pusat mengambil inisiatif untuk menganjurkan konsert ini.
Kita berharap agar saudara Kelantan71 tidak terlalu cepat melatah dan mengancam untuk meninggalkan gerakan Islam PAS hanya semata-mata kerana beliau tidak faham akan status muzik dalam Islam.
