malaysiakini logo
story-image
ADS

Saya adalah seorang perwakilan Umno Pulau Pinang ketika Perhimpunan Agung Umno tempoh hari. Saya ingin membuat pengakuan tulus tentang gejala rasuah yang berleluasa dalam Umno kerana bimbang tentang masa depan Malaysia apabila dipimpin oleh pemimpin yang menjadikan rasuah sebagai 'modus operandi' mereka untuk mendapatkan kuasa politik.

Sebelum saya pergi lebih jauh lagi, ingin saya menyatakan rasa tidak puas hati saya terhadap pemimpin dan media yang menggunakan istilah 'politik wang' dalam menghuraikan gejala rasuah dalam Umno.

Kenapa perlu kita menukar istilah rasuah kepada politik wang? Rasuah tetap rasuah. Saya beranggapan penukaran istilah ini adalah sebagai satu usaha licik pemimpin yang kononnya membela Melayu untuk menipu rakyat, seolah-olah rasuah dan politik wang adalah perkara yang berbeza.

Rasuah menjadi ideologi baru bagi Umno. Baru pun tidaklah baru sangat, semenjak zaman Dr Mahathir Mohamad menjadi presiden lagi. Umno sudah tidak punya ideologi untuk membela Melayu lagi. Majoriti perwakilan membicarakan tentang rasuah dari calon pemimpin 'Melayu' sesama mereka.

Antara dialog popular mereka ialah, 'Bila lagi duit dari Datuk 'A' nak turun ni? Kalau tak turun juga, kita takkan pangkah dia!'. Mereka sudah tidak lagi membicarakan tentang agenda untuk memartabatkan Melayu dan Islam.

Bagaimanakah sesetengah pemimpin party mendapat undi yang banyak semasa piliharaya party? Sebenarnya, mereka menang kerana merasuah para perwakilan dengan jumlah rasuah yang tinggi sehingga RM1,000.

Bayangkan berapa juta ringgit dihabiskan demi memenangi kerusi dalam parti.

Dan dari mana sumber dana yang mereka perolehi untuk tujuan rasuah tersebut? Mereka telah memperolehi dana itu daripada ahli-ahli perniagaan yang juga menyewakan bilik-bilik hotel untuk dijadikan tempat tidur para perwakilan.

Kenapa ahli-ahli perniagaan ini sanggup menaja mereka? Jawapannya tentulah dengan kemenangan mereka, ahli-ahli perniagaan tersebut itu dapat mengaut projek kerajaan yang berharga paling kurang tiga kali ganda dari nilai suapannya itu.

Inilah keburukan rasuah yang berleluasa sekarang yang menyebabkan saya terpaksa membongkarkannya walaupun saya sendiri adalah ahli Umno kerana saya bimbang dan gusar tentang masa depan umat Melayu di Malaysia hasil mainan jahat pemimpin-pemimpin Umno yang tidak bersih.

Ramai yang terkejut bagaimana Muhammad Muhammad Taib boleh kalah dari jawatan yang dia sedang sandangi. Sedangkan dia telah banyak berjasa kepada Umno terutama sekali ketika pilihanraya kecil Kuala Berang baru-baru ini.

Ini kerana pada pemilihan kali ini, dia ingin bermain bersih dengan tidak merasuah kepada perwakilan. Dia cuba menggunakan taktik bahawa dia adalah pemimpin Melayu tulen yang ingin memartabatkan Melayu di persada dunia.

Akhirnya dia gagal kerana Umno sudah sebati dengan ideologi rasuah dan bukannya lagi agenda perjuangan Melayu.

Pembaca mungkin menyoal kenapa saya tidak kemukakan saja aduan ini melalui saluran yang betul terhadap jawatankuasa displin parti. Saya tidak lagi percaya dengan jawatankuasa tersebut yang telah terbukti berat sebelah dalam keputusannya.

Kita boleh lihat dalam kes rasuah ketika pemilihan di peringkat bahagian tempoh hari di mana yang telah terbukti bersalah kerana terlibat dalam rasuah hanya dikenakan amaran sahaja.

Adakah laporan saya yang akan melibatkan orang yang lebih besar dari mereka akan diadili dengan sewajarnya oleh jawatankuasa tersebut?

Saya tidak nampak Pak Lah serius dalam hal membenteras rasuah dalam Umno ini kerana dia ingin mengelakkan peperangan yang lebih besar berlaku dalam Umno. Dia lebih rela Umno selamat dengan mengorbankan nasib rakyat di tangan perasuah-rasuah Umno yang berleluasa.

Di samping tidak diadili dengan sewajarnya, saya juga yakin nasib saya akan malap dalam Umno kerana bertindak berani menyalak pemimpin-pemimpin tertinggi di peringkat naib presiden.

Siapakah lagi yang menjadi harapan saya untuk menyelamatkan Umno dan negara tercinta dari gejala rasuah? Hendak harapkan pemimpin ulung yang sedang dirawat di Munich pun belum pasti tercapai kerana sesetengah pemimpin telah menghalangnya dengan keras daripada kembali memimpin Umno dengan alasan beliau adalah 'pengkianat' parti (adakah seseorang menjadi pengkianat sedangkan dia dipecat?).

Saya doakan moga Umno yang saya dokongi ini tidak akan pudar dan akhirnya mati akibat penyakit rasuah di tahap kronik yang sedang melandanya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.