Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) mengalu-alukan keputusan Mahkamah Persekutuan (Khamis, membebaskan Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat, dan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi di atas usaha beliau untuk menjadikan badan kehakiman negara ini bebas dan berwibawa.
Tentunya keputusan mahkamah ini dilihat akan memberi impak langsung kepada suasana politik nasional. Namun, KsJT turut melihat pembebasan Anwar adalah sebagai kelangsungan perjuangan ke atas beberapa aspek dan pengisian demokrasi, seperti kebebasan media dan kebebasan bersuara dalam bidang seni-budaya.
Melalui pengamatan dan pengumpulan pengalaman sejak enam tahun di era Reformasi (sejak 1998), dapatlah kami menginsafi dan merumuskan bahawa ruang kebebasan media dan bersuara di negara kita masih kecil, terbatas dan terkebelakang jauh berbanding negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.
Dalam bidang seni-budaya pula, masih begitu banyak undang-undang atau sekatan terhadap proses berkarya, seperti tapisan skrip oleh badan-badan tertentu sepertimana yang menimpa beberapa produksi teater di Kuala Lumpur tahun lalu.
Atau, lembaga-lembaga penapis yang akhirnya lebih dilihat hanya bertujuan menafsir aspek moral dari pandangan sehala yang cetek, atau lebih menyedihkan lagi, badan itu hanya menjadi alat untuk membaluti kepentingan politikus, parti politik dan fahaman arus perdana semata-mata.
Ini tentunya akan membunuh atau menjadi 'halangan psikologi' ke atas cetusan idea baru atau pandangan-pandangan lain, yang barangkali juga bermanfaat kepada pembangunan negara.
Dalam bidang seni-budaya, kita harus mengakui bahawa negara kita masih berhadapan dengan kemelut kekurangan karya yang mampu bersaingan dan dapat dibangga sampai ke peringkat antarabangsa.
Antara contoh ketara ialah kebanyakan filem lokal sejak awal-awal lagi telah gagal di pawagam dalam negara dengan longlai bersaing dengan filem luar. Kemelut ini sesungguhnya mempunyai hubungan langsung terhadap perbagai hal yang menyekat kebebasan berkarya, atau dalam kata lain, menyekat proses kreativiti.
Maka, KsJT yakin, semua hal yang menyekat kebebasan tersebut harus dihapuskan demi wujudnya erti demokrasi dan kebebasan untuk kebaikan dan manfaat lebih besar kepada masyarakat.
Malah tanggapan bahawa demokrasi dan kebebasan lebih banyak mendatangkan keburukan hanyalah tanggapan simplistik, dan tidak matang terhadap maksud sebenar demokrasi dan kebebasan.
Oleh itu, sangat penting pembebasan Anwar Ibrahim dilihat sebagai titik mula selain ia adalah naratif penting sejarah negara di mana ia juga merupakan survival dan perjuangan berterusan demi meletakkan asas kebebasan, demokrasi dan keadilan kepada semua pihak. Kepada golongan karyawan dan seniman juga.
