Adalah suatu yang ironi ketika Perdana Menteri Malaysia Abdullah Ahmad Badawi menawarkan kesempatan untuk 'tinggal sesaat' di Malaysia bagi mangsa konflik di Thailand pada masa yang sama, ribuan orang Aceh yang sudah lari ke Malaysia kerana konflik di kampung halaman mereka, setiap hari menghadapi risiko ditangkap dan dihantar pulang secara paksa.
Pada masa ini, terdapat ribuan orang Aceh hidup di Malaysia berikutan ancaman konflik yang berterusan di Aceh. Banyak daripada mereka lari kerana dituduh terlibat dengan GAM (Gerakan Aceh Merdeka) atau dituduh terlibat dalam aktiviti menentang pemerintah Jakarta.
Mereka ini menghadapi ancaman yang sangat serius yakni ditangkap sewenang-wenang, disiksa, bahkan dibunuh seperti yang sudah terjadi dalam banyak kes.
Hal ini semakin serius sejak Undang-undang Tentera diterapkan di Aceh sejak 19 Mei 2003, di mana lebih 30,000 tentera dihantar ke Aceh. Sejak saat itu, lebih 2,000 orang Aceh terbunuh. Menurut laporan Legal Aid Foundation (LBH) Aceh, sebuah NGO tempatan, ramai sekali yang kini ditahan dan disiksa dalam berbagai tahanan polis dan tentera.
Menurut pengarah LBH Aceh, Afridal Darmi, kekerasan dalam tahanan terhadap orang Aceh yang ditangkap, menyamai kekerasan tentera Amerika terhadap tahanan di Iraq.
Status undang-undang tentera ini akan berakhir minggu ini di mana selepas tanggal 19 Mei tahun ini, undang-undang sivil akan dikuatkuasakan di Aceh. Namun demikian, ini bukan bermakna telah ada perubahan dalam operasi ketenteraan itu sendiri, kerana kehadiran pasukan tentera di sana tidak ditarik balik.
Selama operasi ketenteraan di Aceh berterusan, ratusan orang dihukum berat melalu proses peradilan yang sangat tidak adil. Bahkan ada laporan bahawa banyak para wanita Aceh yang mengalami tindakan kekerasan seksual, termasuk perkosaan.
Akibatnya, ramai orang Aceh lari meninggalkan rumah, tanah, kampung halaman dan memilih tinggal di berbagai tempat aman tanpa dokumen, tanpa wang, tanpa apa-apa. Ramai daripada mereka yang memilih Malaysia sebagai tempat tinggal sementara.
Ketika ini, ribuan daripada mereka tinggal di tempat-tempat kumuh atau pinggiran hutan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dengan keadaan nasib yang tidak menentu dan tanpa sebarang pekerjaan.
Ramai yang mengemukakan permohonan kepada Pesuruhajaya Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) untuk mendapat status pelarian. Laporan UNHCR menyebutkan lebih 6,000 orang Aceh sedang dalam proses menunggu jawapan dan kemudiannya diberikan kad perlindungan sementara.
Mereka inilah pada pemerintah dan polis Malaysia, bahkan orang awam disebut sebagai pendatang 'haram'. Mereka dituduh haram kerana tidak mempunyai surat dokumen.
Dan mereka inilah yang terus mengalami ancaman ditangkap dan dihantar pulang oleh pemerintah Malaysia. Masyarakat Aceh di Malaysia melaporkan hampir setiap hari, ada sahaja yang ditangkap. Sehingga minggu lalu, ada yang telah dihantar pulang. Dan sepertimana orang Aceh yang telah dihantar pulang sebelum ini, nasib mereka juga tidak diketahui.
Yang paling membimbangkan ialah ramai juga pemegang kad 'perlindungan sementara' dari UNHCR, juga boleh dihantar pulang. Ada laporan dalam beberapa kes, pemegang kad tersebut juga turut ditangkap dan bahkan kad tersebut dikoyakkan.
Pemerintah Malaysia harus segera menghentikan penghantaran pulang orang Aceh yang tinggal di sini. Dalam kategori apapun, penghantaran pulang tersebut tidak boleh dilakukan dan sangat membahayakan nasib pelarian Aceh terbabit.
Menjadikan alasan ketiadaan dokumen sebagai dalih untuk pengklasifikasikan mereka sebagai pendatang haram dan dihantar pulang, adalah sangat tidak tepat. Mereka mungkin 'haram' kerana tidak mempunyai dokumen, tetapi keadaan yang menyebabkan mereka lari dan membuat mereka halal untuk berada di Malaysia.
Selain masalah dokumen, pemerintah Malaysia juga terus menggunakan alasan bahawa mereka bukan pelarian sebenarnya, tetapi para pencari kerja yang menggunakan dalih suasana buruk politik untuk datang ke sini.
Untuk mendukung alasan ini, pemerintah Malaysia misalnya menyatakan bahawa mereka yang ditangkap ini umumnya bekerja secara gelap. Ini tidak lengkap kerana apa yang sebenarnya terjadi ialah mereka ini terpaksa bekerja untuk mencari makan. Kerana bekerja tanpa dokumen, lalu mereka ditangkap dan dituduh pencari kerja gelap!
Sebenarnya, pemerintah Malaysia tahu keadaan pelarian orang Aceh ini. Mereka juga mengetahui tentang konflik di Aceh yang mengancam kehidupan penduduk awam di sana dan latarbelakang kenapa ramai orang Aceh lari ke Malaysia.
Tetapi daripada menjelaskan yang pelarian Aceh ini adalah mereka yang perlu ditolong, pemerintah Malaysia sebaliknya cenderung menciptakan berbagai alasan untuk mengambil tindakan bagi menghantar mereka pulang.
Alasan sebenarnya mengapa 'tetamu-tetamu' dari Aceh ini tidak dikehendaki ialah kerana pemerintah Malaysia tidak mahu pemerintah Indonesia marah karena menampung pelarian Aceh di negara ini.
Oleh kerana itu, rakyat Malaysialah sekarang yang harus membantu pelarian Aceh ini. Rakyat Malaysia harus mendesak pemerintahnya supaya mengizinkan orang Aceh tinggal sementara di negara ini.
Rakyat Malaysialah yang harus membantu menghalalkan status orang Aceh ini. Mereka adalah golongan yang terancam hidupnya dan harus lari untuk menyelamatkan diri. Mereka adalah tetamu yang tidak diundang tetapi datang ke Malaysia untuk mencari perlindungan daripada ancaman maut dan tindakan kejam.
Mereka adalah sesama saudara kita yang memerlukan pertolongan banyak pihak.
Penulis adalah peneliti Aceh yang bekerja untuk Tapol, satu organisasi hak asasi manusia di London.
