Khairy Jamaluddin (KJ) sudah menjadi bualan setiap ahli Umno kini, bukan kerana kehebatannya dalam politik, tetapi kerana pengaruh yang secara tidak langsung dengan pemangku Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi.
Dalam satu segi, banyak juga yang cuba membandingkannya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang tokoh muda pada tahun 80-an dan mula berjinak dengan Umno dan terus mendaki puncak Umno sehinggalah dibuang pada September 1998.
Walaupun semua akui lulusan Oxbridge itu memang hebat dalam 'spin' Pak Lah sehingga mendorong pengundi memilih Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum baru-baru ini, tetapi banyak orang akan mempertikaikan jika KJ menduduki jawatan nombor dua (naib ketua Pemuda Umno) dengan senang.
Dalam konteks 'spin', KJ telah menjadi asset kepada Pak Lah, tetapi jika ada usaha untuk mendapat jawatan nombor dua, maka sesungguhnya akan menjadi liabiliti kepada pucuk pimpinan tertinggi.
Lihatlah Tun Dr Mahathir Mohamad, anak-anaknya berkelayakan. Hampir semuanya lulusan seberang laut, tetapi tiada seorangpun yang sengaja diangkat untuk `semacam' penggantinya. Malah, Tun sendiri pernah membuat kenyataan bahawa beliau tidak mengizinkan anaknya menduduki jawatan penting dalam Umno, sehinggalah beliau tidak lagi menjadi presiden.
Saya mencadangkan supaya Pak Lah mengikuti jejak Tun dalam hal ini, supaya nepotisme tidak menjadi barah dalam Umno. Justeru, saya mencadangkan supaya Pak Lah membuat kenyataan segera Khairy tidak akan memegang jawatan utama dalam Pemuda Umno.
Ini nasihat saya yang daif lagi na V f dalam politik. Tetapi, percayalah jika sekiranya Hishammuddin bertimbalankan menantu Pak Lah, maka akan terjejaslah masa depan Umno, khususnya di mata anak-anak muda.
Semua orang kata Khairy hebat khususnya kaki angguk dalam Umno, tetapi bagi pemerhati politik biasa seperti saya, Umno perlu dijauhi dari nepotisme seperti yang hendak ditakdirkan ini.
Kepada Khairy, cepat-cepatlah membuat keputusan politik iaitu dengan mengisytiharkan bahawa tidak akan menerima jawatan nombor dua biarlah Pemuda Umno mencari tokohnya sendiri.
