malaysiakini logo
story-image
mk-logo
From Our Readers
Nazmizah tidak layak terima ganjaran dari Kerajaan Terengganu
ADS

Saya adalah bekas pelajar Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Klang dan sekarang melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Saya telah ditanya oleh beberapa ahli usrah mengenai kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia bertajuk "Anugerah menanti Nazmizan" pada 11 Disember 2003 mengenai hasrat kerajaan negeri memberi anugerah kepada `Raja Pecut' baru negara, Nazmizan Muhammad yang memenangi dua pingat emas dalam kejohanan Sukan SEA.

Apa yang menjadi tandatanya kepada ahli-ahli usrah saya ialah kenapa sikap pemimpin tertinggi parti itu amat berbeza di dalam bab kedudukan aurat lelaki dan wanita. Sekiranya dilihat pada gambar, jelas Nazmizan berpakaian tidak menutup aurat.

Soalnya, menurut ahli-ahli usrah saya, bukankah sepatutnya Nazmizan dihukum agar tidak mendedahkan auratnya di khalayak ramai. Tindakan memberi anugerah kepadanya sama seperti kita redha dengan perbuatannya dan menyebabkan kita turut bersubahat menggalakkan ahli sukan sepertinya tidak menutup aurat

Kerajaan Negeri Kelantan pernah mengenakan denda RM30 ke atas wanita yang degil dan tidak mahu menutup aurat. Kelantan juga melaksanakan usaha untuk memastikan iklan dan papan tanda hanya memaparkan gambar model yang menutup aurat.

Kerajaan Negeri Terengganu pula mengharamkan pakaian yang tidak menutup aurat di pantai-pantai. Kerajaan Terengganu juga memaklumkan mereka akan mengikut jejak langkah Kelantan bagi memastikan semua wanita di kedua-dua negeri ini menutup aurat.

Antara sebab kenapa muslimat parti jarang terlibat di dalam sukan adalah kerana syarat-syarat berpakaian oleh negara Islam. Umno yang lebih menggalakkan pakaian tidak menutup aurat.

Sebagai umat yang mahu melihat cita-cita Negara Islam sebenar ditegakkan, saya amat menyokong tinggi usaha pemimpin parti memastikan semua pihak, termasuk bukan Islam menutup aurat dan berpakaian sopan.

Bagaimanapun, saya agak sukar untuk menjawab apabila ada ahli usrah saya yang musykil dan mempersoalkan kenapa pasukan bolasepak negeri Kelantan dan Terengganu terus membenarkan pemainnya mengenakan seluar pendek.

Menurut mereka, masih ada ahli sukan lelaki dan wanita dari Kelantan dan Terengganu yang masih terus memakai pakaian yang tidak menutup aurat.

Bukanlah hasrat saya untuk mengkritik Tuan Guru dan kepimpinan tertinggi parti tetapi Islam mengajar kita untuk bercakap benar walaupun ianya pahit. Saya tidak mahu isu ini digembar- gemburkan oleh Umno bagi menunjukkan yang kita tidak konsisten dalam hal penutupan aurat.

Sebagai tanda bahawa kita tidak berkompromi dengan pihak yang melanggar prinsip dan tatacara ajaran Islam, saya berpendapat Nazmizan, dan mana-mana ahli sukan yang tidak mahu menutup aurat, lelaki atau wanita, Islam dan bukan Islam, tidak sepatutnya diberikan sebarang ganjaran dan lebih wajar dikenakan hukuman di atas kesalahan mereka itu.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.