malaysiakini logo
story-image
mk-logo
From Our Readers
Hayati filem Anak Bapak untuk banteras rasuah
ADS

Dalam filem 'Anak Bapak' yang ditayangkan di TV2 pada 9 November lalu, seniman P Ramlee membawa watak Harun Mahfiz, seorang yang memandang serius isu penyelewengan dalam pengurusan kerja.

Penipuan, rasuah, dan penyelewengan merupakan hal-hal yang tidak ada kompromi sehingga beliau sanggup memutuskan tali persahabatan dengan sahabat karibnya Salleh sekaligus memberhentikan pekerjaannya, sekiranya ia melakukan angkara itu. Ini gara-gara cadangan Salleh supaya beliau menggunakan dulu duit pejabat, dan menggantikannya bila dapat gaji kelak.

"Hei Salleh, kalau aku ambik duit ofis, bererti aku tipu harta bapa aku. Bila aku tipu, orang akan tuduh aku pecah amanah. Sekali kalau orang tak percaya dekat aku, sampai mati pun nanti orang tak percaya ," begitulah antara dialog yang terdapat dalam filem tersebut.

Justeru, tindakan awal membongkar salahlaku rasuah, penyelewengan, dan tidak amanah oleh pegawai kerajaan di setiap cabang sektor adalah usaha yang perlu dilakukan secara istiqamah dan tidak bermusim.

Dan usaha memupuk kesedaran ini di jiwa rakyat pelbagai peringkat, perlu digarap melalui pendidikan rasmi, kempen kesedaran dan dijadikan agenda yang penting bagi pengisian pemerintahan terkini.

Kita merasa dukacita kerana dalam memperjuangkan 'Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam' dalam pentadbiran di samping slogan 'Bersih, Cekap, dan Amanah' dahulu, masih wujud perkara seperti ini. Oleh itu, penulis menyarankan tindakan-tindakan di bawah dapat dipertimbangkan.

Pertama, perdana menteri perlu membawa draf undang-undang Akta Kebebasan Maklumat atau 'Freedom of Information Act' (FoI) ke Parlimen. Selain itu, Akta Kebebasan Akhbar juga perlu dibahaskan di Parlimen.

Penulis berharap pihak NUJ (Kesatuan Wartawan Kebangsaan) dapat mengusahakan tindakan berterusan agar akta ini mendapat perhatian semua pihak. Selaku pengamal media dan pelajar kewartawanan saya berpendapat inilah masa yang sesuai untuk menggarap segala idea-idea ini untuk diterjemahkan ke alam realiti.

Kedua, mahasiswa IPT melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bergabung untuk mewujudkan jawatankuasa GENTAR (Gerakan Pelajar Tangani Rasuah) dan menggerakkan 'Kempen Kebebasan Maklumat' dari masa ke masa.

Untuk tujuan ini, saya menyarankan perdana menteri selaku pengerusi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), mengadakan mesyuarat bagi membincangkan usul ini agar penglibatan pelajar terbuka luas dalam kegiatan membanteras gejala rasuah, semoga mewujudkan kesedaran kepada mereka apabila berada di alam kerjaya kelak.

Ketiga, Suhakam, Majlis Peguam, dan Biro Pencegah Rasuah, pentadbir IPT dan lain-lain badan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama bagi menubuhkan skuad, persatuan, dan kelab di seluruh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk melatih generasi muda, terutamanya mahasiswa memahami kaedah mengesan perlakuan rasuah dan penyeleweng di semua sektor.

Keempat, Kementerian Pendidikan perlu mewujudkan kursus 'Asas Pengenalan Undang-Undang' di semua IPT dan dijadikan kursus yang wajib diambil untuk memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai AUKU dan lain-lain akta.

Kita maklum bahawa prinsip Keluhuran Perlembagaan serta Kedaulatan Undang-Undang adalah sendi Rukun Negara yang membentuk keharmonian kaum. Tragedi penahanan ISA ke atas 13 pelajar Malaysia dari Pakistan serta 7 mahasiswa IPT tempatan yang digantung pengajian di bawah Seksyen 15D(1) Auku 1971 (Akta 30) menunjukkan pelajar masih buta perundangan.

Kadang-kadang kita keliru apabila mendengar pendapat yang menyatakan AUKU tidak menyekat dan mengongkong mahasiswa padahal sudah berapa ramai pelajar yang telah terbelenggu oleh peraturan itu - sama ada digantung dan disingkir pengajian. Semoga kursus 'Asas Pengenalan Undang-Undang' ini mampu menjawab segala teka-teki perundangan mengenai AUKU.

Kita juga perlu meneliti apakah punca yang menyebab kemunculan watak-watak penyeleweng dan perasuah. Satu sebabnya ialah tidak cukup wang untuk menyara diri dan tanggungan keluarga.

Oleh itu, penyiasatan kes rasuah juga harus meninjau nilai-nilai manusiawi kerana dalam 100 pencuri, 99 daripadanya mencuri kerana kelaparan dan kemiskinan, sedangkan seorang lagi mencuri kerana tabiatnya yang buruk.

Dalam filem 'Anak Bapak', ketika dihadapkan ke mahkamah, Harun Mahfiz menjelaskan bahawa penipuannya berpunca dari gajinya yang tidak mencukupi dalam mengisi tuntutan hidupnya. Hakikat ini mampu menukar watak Harun yang jujur, bersih, cekap, dan amanah dalam menjalankan tugas kepada sikap menipu dan curang.

Walaupun watak Harun Mahfiz dilihatkan sebagai playboy yang menggunakan wang ke jalan yang salah, namun beliau berupaya menggarap mesej jelas; penyelewengan dalam pentadbiran termasuk rasuah yang ingin dibanteras mesti diukur melalui kacamata kemanusiaan.

Jika tidak, punca sebenar rasuah ini tidak diketahui manakala sindrom rasuah ini akan bebas menular, dan menjalar terus menerus dalam masyarakat kita. Puncanya mestilah disiasat. Maka, di atas panduan Tan Sri P Ramlee yang berguna ini, marilah kita iringkan dengan surah al-Fatihah untuk allahyarham.