Setelah meneliti beberapa pendapat mengenai merdeka dan pengibaran Jalur Gemilang (JG), maka terserlah ianya umpama 'menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri'.
Hanya setakat mengibarkan JG tidak bermakna seseorang itu patriotik. Sebaliknya, tidak mengibarkan JG juga tidak bermakna seseorang itu tidak patriotik. Yang penting ialah sebab mereka berbuat demikian. Jika JG dikibarkan semata-mata atas kehendak Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Kadir Sheikh Fadzir, maka jelas ianya tidak selaras dengan penghayatan patriotik.
Menjiwai semangat patriotik kepada negara tidak sepatutnya dikait dengan menyokong atau menentang seruan kerajaan. Ia mesti lahir daripada semangat murni, jiwa yang ingin berjuang untuk mempertahankan agama, nusa dan bangsa demi kemerdekaan yang meliputi aspek fizikal dan kerohanian.
Terlalu banyak yang boleh diperbincangkan. Secara ringkasnya ada di antara kita yang terlalu ghairah menyalahkan tindakan individu tertentu yang bersifat perkauman, dan menganggap pendiriannya mewakili keseluruhan kumpulannya. Jika seorang anggota polis menjadi kambing hitam, ia tidak bermakna seluruh pasukan itu turut menjadi kambing hitam.
Bukan mudah untuk mendapatkan keseimbangan ini, kecuali kita insaf mengenai peranan yang perlu kita mainkan demi generasi mada depan. Berapa ramaikah di antara kita yang menjadi patriotik dengan menghormati perlembagaan yang telah menetapkan perkara-perkara tertentu, seperti Islam sebagai agama rasmi, Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan serta menghormati undang-undang secara amnya?
Berapa ramai pula yang merasakan diri mereka patriotik tetapi bersedia menghulur sewaktu berada di dalam situasi terdesak; bersedia menyusahkan pengguna jalanraya dengan membuat "double dan triple parking", malah memandu secara merbahaya hanya kerana kereta yang dipandu lebih perkasa daripada yang lain?
Berapa ramaikah yang merasakan diri mereka patriotik setelah menyumbangkan cukai yang banyak tetapi melanggar peraturan lain, tidak berperi kemanusiaan dan hanya melenting apabila terkena batang hidung sendiri?
Ringkasnya, saya bersetuju benar dengan apa yang dinyatakan oleh Thomas Lee ('All races have an important role to play') bahawa semua pihak mempunyai peranan penting untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang dicintai dan perlu dipertahan demi melahirkan generasi depan yang lebih patriotik daripada kita dan Kadir.
Kepada mereka yang merasakan ada tempat yang lebih hijau, sila teruskan dan katakanlah secara jujur kepada diri sendiri bahawa saudara semua sungguh gembira dan tidak pernah menghadapi kepayahan sebagaimana semasa di tanah tumpah darah sendiri.
