Seruan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sepertimana yang dilaporkan media tempatan mengenai perlunya penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat Malaysia, patut dipuji. Perkara ini sudah disebut-sebut untuk kesekian kalinya. Sejauh manakah keberkesanannya?
Adakah ianya sekadar untuk dijadikan bahan leteran yang tidak membawa sebarang kesedaran dan perubahan kepada rakyat Malaysia?
Tidak dinafikan antara bangsa yang lemah penguasaan bahasa Inggeris adalah orang Melayu - tidak kira di pihak pemerintah ataupun pembangkang. Persoalannya: sejauh manakah sesebuah parti itu berusaha supaya ahlinya menguasai bahasa Inggeris dan mungkin juga teknologi maklumat?
Adalah perlu bagi setiap ahli Umno yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin Malaysia suatu hari nanti, melengkapkan diri dengan menguasai bahasa Inggeris. Selain mempersiapkan diri dengan ilmu "lobi-melobi projek" untuk kepentingan peribadi, siapkan juga dengan ilmu-ilmu berguna seperti ilmu bahasa lain dan ilmu IT.
Belum pernah didengar mana-mana bahagian Umno yang menganjurkan program seumpana itu untuk ahli-ahlinya. Mungkin segala program selama ini dianjurkan untuk mempersiapkan anak-anak ahli dalam mendalami bahasa Inggeris bagi tujuan peperiksaan.
Kerapkali pemimpin Umno yang tidak tahu berbahasa Inggeris melaungkan sokongan tidak berbelah bagi dalam isu pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Pernahkah mereka mengusulkan supaya setiap ahli perlu belajar bahasa Inggeris?
Rakyat sedia maklum tentang status bahasa Inggeris beberapa pemimpin Umno termasuklah menteri besar dan ahli-ahli exco yang tidak pandai berbahasa Inggeris.
Setiap tahun, berulangkali dibahaskan isu pendidikan di perhimpunan agung Umno. Apakah tidak perlu bagi para perwakilan mempelajari bahasa Inggeris?
Mungkinkah perlu dianjurkan satu kempen, "Satu warganegara, dua bahasa?"
