malaysiakini logo
story-image
mk-logo
From Our Readers
Kes rasuah: Bila pula giliran ikan jerung?
ADS

Selepas pendedahan Timbalan Menteri Datuk M. Kayveas mengenai kes rasuah di Majlis Perbandaran Ampang Jaya, nampaknya semakin banyak pendedahan baru muncul.

Malahan, media milik kerajaan seperti The Malay Mail pun semakin berani dan lantang mengkritik pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mengenai isu sebuah padang rekreasi di Ampang.

Televisyen swasta NTV7 juga semakin berani memperkatakan mengenai gejala rasuah seperti yang dipaparkan dalam slotnya hujung minggunya, seperti isu penjualan pasir di Pusat Serenti Rawang.

Sebelum ini, ia lantang memperkatakan isu penduduk Kampung Wira Damai yang menjadi 'pelarian' di negara sendiri, akibat tempat tinggal mereka dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan dan janji palsu Kerajaan Selangor.

Paling menarik ialah pendedahan bergambar mengenai presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting yang duduk semeja (bersebelahan) dengan kepala samseng yang paling digeruni kerana pelbagai kes jenayah.

Saya melihat perkara ini sebagai perkembangan positif, terutamanya mengenai keberanian media membuat pendedahan mengenai amalan rasuah. Tahniah!

Tidak ketinggalan, Menteri Kerjaraya Datuk Seri S Samy Vellu telah membuat pendedahan mengenai makmal komputer sekolah yang tidak selamat untuk digunakan kerana kecuaian kontraktor.

Ini amat mengejutkan, kerana ia menggambarkan bahawa kegiatan rasuah telah menjadi seperti barah yang menular dengan begitu teruk sekali. Walaupun tindakan Samy itu boleh dipuji, tetapi saya hairan mengapa kerosakan itu hanya dikesan pada saat ini, dan tidak pada peringkat awal?

Adakah projek tersebut dijalankan oleh kontraktor terpilih (siapa lagi, kalau bukan mereka yang ada hubungan rapat dengan parti pemerintah) tidak pernah mendapat pengawasan Jabatan Kerja Raya (JKR) atau agensi kerajaan yang lain? Di manakah mereka ketika pembinaan sedang berjalan?

Setelah berbilion wang rakyat digunakan, hasrat untuk menjadikan anak-anak negara kita celik komputer nampaknya kabur hanya kerana kerakusan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Secara peribadi, saya berpendapat mereka ini wajar dianggap sebagai 'pengkhianat negara' kerana merampas masa depan anak-anak kecil hari ini.

Kelewatan mempelajari komputer, walaupun sehari dua, sebenarnya boleh jauh meninggalkan rakyat negara ini di belakang kerana teknologi ini berkembang dengan begitu pesat sekali.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak boleh berdiam atau menggunakan alasan "tiada laporan dibuat" untuk memulakan siasatan.

Sudah sampai masanya mereka yang terlibat diheret kemuka pengadilan dan dihukum sewajarnya. Media milik kerajaan pula jangan sekadar membongkar jenayah mereka berpangkat rendah sahaja, tetapi perlu lebih berani mendedahkan kegiatan tidak bermoral di peringkat lebih tinggi, tanpa mengira individu terbabit, menteri kabinet atau presiden parti.

Bagaimanapun, mustahil akhbar The Star akan menyiarkan 'kisah benar' dalam MCA kerana ianya tak ubah seperti membuka pekung di dada. Kita tahu, anjing pun tidak menggigit tuannya.

Melainkan media berani memperkatakan yang benar, kita cuma boleh berpuas hati dengan hidangan kisah rasuah di peringkat kerajaan tempatan, ataupun terhadap mereka yang tidak lagi diperlukan oleh kepimpinan hari ini.

Ataupun, mungkin sebahagian daripada pendedahan itu sekadar mencari 'kambing hitam' bagi membuktikan 'ketelusan' kepimpinan kerajaan BN yang boleh dijadikan aset menjelang pilihanraya akan datang.

Sebenarnya, rakyat masih lagi tertunggu-tunggu bagaimanakah rupanya 'si jerung' dalam skandal Perwaja yang melingkupkan RM10 bilion duit negara kerana sudah jemu dihidangkan dengan kisah-kisah kemungkaran si bilis.

Mungkinkan pendedahan salahguna kuasa Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Dr Hilmi Yahya hanyalah satu permainan media kerana beliau tidak lagi diperlukan?


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.