malaysiakini logo
story-image
mk-logo
From Our Readers
Pelajar: USM perlu perjelas kes pelajar bunuh diri
ADS

Barisan Progresif Pelajar Universiti Sains Malaysia (SPFUSM) merasa amat sedih dan kesal berhubung kejadian di mana seorang pelajar tahun satu Universiti Sains Malaysia (USM) telah membunuh diri pada 8 Jun, 2003,

SPFUSM berharap pihak universiti dapat menangani perkara seperti ini dengan mengambilkira kebaikan semua pihak dan memberi penjelasan sewajarnya untuk menghentikan penyebaran khabar angin yang tidak berasas.

SPFUSM memuji tindakan pihak universiti memberi sumbangan RM2,400 kepada keluarga pelajar tersebut dan menanggung kos membawa jenazahnya. Ini adalah langkah yang wajar dalam menjaga kebajikan pelajar USM.

Bagaimanapun, SPFUSM berpendapat, tindakan pihak universiti melarang pelajar menyuarakan pandangan mereka berhubung kejadian itu dalam media atas sebab ianya akan memburukkan nama universiti, adalah tidak munasabah.

Pelajar sememangnya boleh mengemukakan pandangan mereka tentang kejadian itu sebagai warga kampus yang mengambil berat terhadap hal yang berlaku di sekitarnya.

Pihak universiti seharusnya menangani perkara ini dengan telus dan memberi penjelasan yang sebenarnya secepat mungkin kepada warga kampus.

Pihak universiti tidak patut mendiamkan diri tanpa memberi penjelasan rasmi kerana kejadian itu berlaku di kawasan kampus yang di bawah pengurusan dan penjagaan pihak universiti.

Pihak unversiti juga tidak harus melarang pelajar daripada bersuara semata-matanya untuk memastikan nama universiti sentiasa 'bersih'.

Tindakan bersifat patriarchal ini tiada perbezaannya dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Universiti dan Kolej Universiti yang menyekat rakyat menyertai pembangunan masyarakat.

Sebaliknya, sekatan sebegini akan memburukkan lagi keadaan kerana pengaliran informasi yang tidak bebas, akan menimbulkan lagi keraguan dan kebimbangan di kalangan pelajar.

SPFUSM juga menyeru pihak universiti agar sentiasa mengikuti perkembangan kaji selidik pihak polis dan memberitahu keputusannya kepada warga kampus USM supaya khabar angin tidak berterusan dan langkah sewajarnya diambil untuk mengelakkan perkara ini berulang.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.