malaysiakini logo
story-image
ADS

Adalah mengejutkan hanya Ketua Penguatkuasa MPAJ, Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad, disiasat dan digantung kerja ekoran dakwaan Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Datuk M Kayveas bahawa berlaku amalan rasuah di dalam MPAJ.

Amat mustahil bagi satu amalan rasuah yang serius seperti didakwa oleh timbalan menteri itu berlaku tanpa pengetahuan dan mungkin kerjasama pihak yang lebih tinggi.

Datuk Kayveas, mendakwa Abdul Kudus menerima RM 70,000 sebulan untuk melindungi beberapa kegiatan haram di Ampang Jaya. Abdul Kudus didakwa telah memberi "tip-off" kepada "tonto" sebelum berlakunya sebarang serbuan. Beliau juga didakwa memilih premis mana yang hendak diserbu.

Jika ini benar maka adalah mustahil Yang Dipertua MPAJ, Ahmad Kabit, tidak dapat mengesan bahawa ada sesuatu yang tidak kena apabila serbuan-serbuan tidak mendatangkan hasil. Oleh itu Ahmad Kabit pun perlu disiasat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Ampang, Dato' Mufti Shuib, Dato' Ismail Kijo (Lembah Jaya) dan Dato' Mad Aris (Pandan) yang juga merupakan ahli-ahli majlis MPAJ, juga perlu disiasat seperti Ahmad Kabit.

Pihak polis juga perlu dipersoalkan kenapa terdapat begitu banyak premis haram atau tanpa lesen seperti tempat hiburan dan perjudian di Ampang Jaya. Adalah mustahil mereka tidak sedar apa yang berlaku di dalam MPAJ. Oleh itu Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Azmi Hashim, juga perlu disiasat seperti Abdul Kudus.

Kemungkinan besar Abdul Kudus hanyalah "ikan bilis" dan "jerung-jerung" yang lebih besar perlu ditangkap untuk menghapuskan amalan rasuah di Ampang Jaya.

Sebenarnya cerita rasuah melibatkan MPAJ ini adalah "cerita lama". PAS Kawasan Ampang Jaya pernah membuat laporan kepada BPR terhadap MPAJ dalam tahun 1996 tetapi BPR telah menafikan berlaku rasuah di dalam MPAJ.

Publisiti yang diberikan kepada kes Abdul Kudus ini mungkin adalah satu sandiwara untuk meyakinkan rakyat bahawa kerajaan BN sedang memerangi rasuah tetapi pada hakikatnya mereka yang benar-benar menjadi dalang tidak didakwa.

Amalan memilih sebelum bertindak oleh pihak berkuasa sepertimana di dalam kes Abdul Kudus sudah lama berlaku di Ampang Jaya, antaranya:

  • Terdapat gerai-gerai yang diroboh tanpa belas kasihan tetapi terdapat yang dibiarkan tanpa gangguan.

  • Terdapat rumah-rumah setinggan yang diroboh kerana dibina atas tanah kerajaan atau rizab sungai/lanskap tetapi terdapat bilik-bilik gerakan Umno dan BN yang didirikan di atas tanah seperti itu yang tidak dikacau.
  • Majlis-majlis PAS dikepung dan diganggu oleh polis tetapi majlis-majlis Umno di tempat terbuka tidak diganggu.
  • Khemah di majlis PAS dirampas oleh MPAJ tetapi khemah-khemah lain dibiarkan walaupun tiada permit.
  • BPR mestilah mengambil sikap pro-aktif dengan menyiasat sama ada telah berlaku amalan rasuah di dalam perkara-perkara tersebut.

    Iskandar A Samad,

    Timbalan Yang Dipertua PAS Ampang Jaya


    Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.