Saya tertarik dengan artikel Wajarkah majalah menjolok mata di PNM
oleh Raja Yussof Arrifina. Artikel tersebut telah disiarkan dalam laman web Harakah kepunyaan parti PAS.Surat saya ditujukan kepada malaysiakini kerana saya berpendapat isu ini wajar diketengahkan sebagai isu perbincangan segenap lapisan masyarakat yang "ingin tahu".
Raja Yussof mempertikaikan kewajaran Perpustakaan Malaysia (PNM) memiliki koleksi bahan bacaan yang menjolok mata. Pertama sekali, saya ingin tegaskan saya tidak menyarankan bahan bacaan sedemikian sebagai sesuai, mahupun disenangi semua peringkat masyarakat.
Namun kita perlu berbalik kepada objektif PNM, iaitu antara lainnya, pertama, menyediakan kepada pengguna generasi masakini dan masa depan, satu koleksi sumber-sumber perpustakaan pada peringkat kebangsaan.
Kedua, bagi memudahkan penggunaan di seluruh negara sumber-sumber perpustakaan yang terdapat di dalam dan luar negara.
Oleh itu, institusi apakah yang paling sesuai untuk menyimpan koleksi segala jenis bahan bacaan (termasuk bahan bacaan yang tidak disenangi sesetengah lapisan maysarakat) jika bukan PNM?
Pendapat penulis membayangkan sifat tidak matang. Kewujudan bahan bacaan menjolok mata adalah sebahagian daripada realiti masyarakat, sama seperti kewujudan penyamun dan perompak dalam masyarakat yang majoritinya madani ("baik").
Namun, kita tidak boleh menghalang penyamun dan perompak yang didapati bersalah dan sedang menjalani hukuman penjara daripada dijenguk oleh ahli keluarga mereka yang "baik".
Dari aspek kebebasan yang sangat kuat dilaungkan kini, bukankah pendapat beliau bersifat menyekat kebebasan dengan pertikaiannya terhadap PNM memiliki sesetengah bentuk bahan bacaan yang pada pendapatnya tidak wajar?
Barangkali beliau tidak jauh berbeza daripada kerajaan yang seringkali dikritik oleh pembangkang sebagai menyekat kebebasan. Beliau hanya berasa kebebasannya mengkritik kerajaan disekat, tanpa terfikir tindakannya turut menyekat kebebasan orang lain.
Sayugia diingatkan perbezaan piawaian moral di antara beliau dan orang lain barangkali wujud, tetapi jika beliau berpendirian sebagai seorang demokrat tulen, beliau tidak wajar meletakkan piawaian moralnya terhadap orang lain.
Piawaian moral adalah relatif kepada tafsiran sesuatu kelompok masyarakat dan perbezaan tafsiran ini bukan suatu jenayah.
Jika beliau tetap mempertikaikan perlunya PNM memiliki koleksi bahan menjolok mata, beliau barangkali terlupa akan keperluan ahli akademik, pengkaji masyarakat, penggubal dasar dan pelajar untuk merujuk kepada bahan-bahan begini sebagai sumber utama bagi kajian mereka.
Jika PNM tidak memiliki koleksi sedemikian, di manakah rujukan sedemikian boleh diperolehi? Jika beliau menyarankan tanggungjawab tersebut boleh dipenuhi institusi selain PNM, beliau tidak mengemukakan alternatifnya dalam artikelnya.
Jika adapun institusi yang boleh mengambil alih peranan PNM dalam situasi ini, maka, pertama, ia merupakan kegagalan PNM, dan kedua, institusi alternatif tersebut juga akan berhadapan dengan kritikan yang sama daripada beliau.
