malaysiakini logo
story-image
mk-logo
From Our Readers
Hukum hudud &#8212perdebatan biarlah berasaskan fakta, bukan emosi
ADS

Perdebatan mengenai pelaksanaan undang-undang Syariah di Terengganu, malah di Kelantan sebelum ini, mendapat perhatian meluas, terutamanya di kalangan parti-parti politik yang bertentangan.

Masyarakat bukan Islam misalnya, menjadi sangat khuatir dengan rancangan pelaksanaan undang-undang ini, sekalipun Kerajaan Terengganu telah memberi jaminan bahawa pelaksanaannya tidak akan dipaksakan ke atas masyarakat bukan Islam.

Justeru itu, mereka menjadikannya sebagai satu perjuangan untuk menentang pelaksanaan undang-undang Syariah ini. Apakah benar undang-undang ini mengancam kehidupan masyarakat bukan Islam dan akan menzalimi mereka?

Jika benar pelaksanaannya menzalimi mereka, maka menjadi kewajipan mereka, malah kepada umat Islam sendiri, untuk menentang kezaliman itu. Bagaimanapun, memandangkan ia tidak pernah dilaksanakan di negara ini, maka tidak ada sebarang bukti bahawa kezaliman itu akan berlaku. Semuanya andaian semata-mata.

Ianya sama seperti andaian dan dakwaan bahawa pendidikan dalam bahasa ibunda akan menghasilkan masyarakat yang tidak bersatu. Walaupun ada yang berpandangan begitu, khususnya di kalangan masyarakat Melayu, hak masyarakat Cina dan India untuk mendapatkan pendidikan dalam bahasa ibunda, terus dihormati.

Malah PAS atau secara khususnya Abdul Hadi Awang, dalam satu dialog dengan Dong Jiao Zhong, pernah berkata: "Semua bahasa adalah ciptaan Tuhan, maka hak untuk pendidikan bahasa ibunda perlu dihormati".

Walaupun PAS, kemudiannya Barisan Alternatif, menyokong kuat hak itu, namun pada masa yang sama, masih ramai masyarakat Melayu yang percaya sistem pendidikan yang berbeza ini tidak sihat untuk perpaduan dan pembinaan bangsa Malaysia.

Dalam soal pelaksanaan undang-undang Syariah ini juga, masyarakat bukan Islam perlu mempunyai rasa hormat terhadap hak masyarakat Islam untuk mempunyai sistem undang-undang mengikut kemahuan dan pilihan mereka sendiri.

Asas yang perlu disepakati oleh semua ialah: Masyarakat Islam mempunyai hak untuk melaksanakan sistem undang-undang mengikut pilihan mereka sendiri. Itu asasnya. Ini meninggalkan persoalan apakah masyarakat Islam benar-benar mahu melaksanakan undang-undang Syariah di negara ini.

Di Terengganu, tanpa mengambil kira janji-janji dan faktor-faktor lain, seperti kezaliman ke atas Anwar Ibrahim, telah mempengaruhi pengundi, ianya tidak jelas apakah rakyat benar-benar mengundi calon-calon PAS kerana mereka akan melaksanakan undang-undang Syariah.

Jalan keluar kepada persoalan ini ialah dengan mengemukakan draf undang-undang tersebut kepada rakyat untuk dinilai dan kemudiannya mengadakan satu pungutan suara bebas bagi mendapatkan mandat rakyat untuk melaksanakan undang-undang tersebut.

Sekiranya penduduk Terengganu memberikan mandat yang jelas mereka mahukan pelaksanaan undang-undang tersebut maka semua pihak, termasuk kerajaan Pusat, perlu menghormati hak dan pilihan rakyat itu.

Langkah mengadakan dialog dan penerangan seperti yang diadakan sekarang adalah satu langkah positif yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kerajaan di Malaysia. Bagaimanapun dialog tersebut tidak seharusnya menjadi medan untuk membahaskan hak kerajaan negeri menggubal undang-undang.

Cara pelaksanaan

Apa yang lebih penting buat masa ini ialah diadakan perbincangan dan penelitian pakar terhadap draf tersebut dengan mengambilkira semua input yang didapati dari pelbagai sektor masyarakat.

Jika terdapat peruntukan-peruntukan dalam draf Terengganu ini gagal menjamin keadilan khususnya dalam permasalahan jenayah rogol, maka permasalahan khusus ini mesti diselesaikan dan dibuat pindan-pindaan perlu.

Andainya perkara-perkara yang dibangkitkan itu bertentangan dengan semangat Islam maka hujahan itu perlu dijawab.Asasnya ialah peruntukan-peruntukan di dalam Islam sentiasa selari dan selaras dengan semangat keadilan.

Jangan pula penggubal undang-undang di Terengganu berdegil dan enggan mengubah draf mereka semata-mata kerana enggan mengubahnya.

Di dalam draf undang-undang Syariah Terengganu bukan sahaja mengandungi peruntukan kesalahan dan hukuman, tetapi juga cara pelaksanaannya. Itu di atas kertas. Tetapi menguatkuasakannya bukan perkara mudah.

Akhir kata, biarlah segala perdebatan dan perbahasan mengenai undang-undang Syariah ini dilakukan berasaskan fakta dan kebenaran bukan dengan andaian dan ketakutan, atau momokan yang dicipta Umno.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.