malaysiakini logo
story-image
ADS

Kebelakangan ini, isu ketelusan Kementerian Belia dan Sukan hangat diperkatakan. Saya dan rakan-rakan terpanggil untuk menarik perhatian semua pihak mengenai pertandingan kasut roda dan Papan laju Street Xtion yang dibiayai secara mewah melalui program Rakan Muda. Pertandingan itu berlangsung di Boulevard, Plaza Low Yat, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada 26 Mei lalu.

Menurut sumber kementerian itu sendiri, Rakan Muda memperuntukkan hampir RM70,000 untuk menganjurkan pertandingan bulanan Street Xtion mulai Mei hingga November 2002.

Peliknya, mengapa kementerian memilih untuk menganjurkan acara yang tidak jelas objektifnya dalam pembangunan remaja dan sukan? Mengapa pula memilih lokasi yang tersorok, sempit dan tidak strategik?

Apakah tiada perancangan awal atau acara lain yang boleh ditaja Rakan Muda? Seingat kami, Street Xtion pernah dianjurkan di Dataran Merdeka pada awal 2002 untuk mempromosi dan memeriahkan lagi acara Asian X-Games Qualifier IV.

Jadi, apa sebenarnya matlamat kementerian melalui program Rakan Muda dengan menganjurkan Street Xtion setiap bulan kerana ia bukannya disiplin sukan yang dipertandingkan di Kelayakan X-Games?

Apakah penganjuran Street Xtion selari dengan program Rakan Muda? Daripada berhabis hampir RM500,000 untuk acara sukan 'asalkan jalan' seperti Street Xtion, kami rasa baiklah Rakan Muda menyalurkan duit itu untuk menjayakan Sirkit Sukan Ekstrem Kebangsaan (National Extreme Sports Circuit) yang sedang berlangsung sekarang ini.

Lagipun, jika Rakan Muda hendak menggalakkan perkembangan sukan ekstrem di Malaysia, Sirkit Sukan Ekstrem jawapannya. Selain mempertandingkan keempat-empat disiplin sukan ekstrem, ia juga menjangkau sasaran remaja yang lebih meluas (ia diadakan di Pahang, Johor Bahru, Ipoh, Penang, Shah Alam, Labuan dan Kuala Lumpur).

Ia juga bertujuan melahir dan memilih atlit-atlit terbaik untuk mewakili negara dalam Asian X Games Qualifier tahun hadapan.

Seandainya Rakan Muda benar-benar jujur dalam memajukan sukan lasak, sudah pasti ia boleh menganjurkan acara sukan ekstrem yang berwawasan. Setidak-tidaknya pun, bergabung tenaga dengan Persatuan Sukan Ekstrem Malaysia dan Bahagian Pembangunan Sukan, Kementerian Belia dan Sukan untuk membiayai Sirkit Sukan Ekstrem Kebangsaan.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.