malaysiakini logo
story-image
ADS

Kenyataan daripada Hakam, International Movement for Just World dan beberapa organisasi serta individu bahawa Persatuan Ulama Malaysia dan kumpulan yang menyokong penghantaran memorandum kepada Majlis Raja-raja (termasuk Persatuan Ulama Kedah atau PUK) berhasrat untuk mematikan perbezaan pendapat dalam Islam adalah suatu tuduhan liar, tidak berasas dan dusta.

Dalam memorandum tersebut kami memohon kepada Majlis Raja-raja, sebagai pelindung kepada agama Islam, untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas para penulis yang telah menghina Islam, Rasulullah SAW dan ulama dalam beberapa akhbar perdana. Ia adalah suatu aduan yang telah dibuat kepada pihak berkuasa mengenai penguatkuasaan undang-undang yang telah sedia ada.

Kami juga telah menyarankan suatu forum diwujudkan untuk membincangkan isu-isu Islam melibatkan pentafsiran Al-Quran dan As-Sunnah kerana kami percaya bahawa akhbar bukanlah medium yang sesuai untuk perbincangan seperti itu. Kami khuatir jika semua orang bebas untuk mentafsirkan Quran dan Sunnah mengikut kehendak dan prejudis masing-masing, kekeliruan dan perpecahan akan berlaku kepada masyarakat.

Oleh itu, bagaimanakah mereka yang selama ini dikenali sebagai 'wira hak asasi manusia', termasuk bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, bekas Menteri dan beberapa profesor undang-undang boleh membuat kesimpulan bahawa kami berhasrat untuk mematikan perbezaan pendapat dalam Islam, mencuba untuk mengkesampingkan suara kritikal dan berbeza dalam wacana Islam serta mencadangkan supaya hanya orang yang berpegang kepada satu pandangan mengenai Islam berhak bersuara mengenainya? Kami sangsi sama ada mereka pernah membaca memorandum kami itu dan segala kenyataan akhbar mengenainya.

Kami ingin mengetahui daripada Hakam, Just dan semua penyokong mereka sama ada mereka bersetuju dengan pandangan para penulis tersebut tentang Islam, Rasulullah SAW dan ulama serta sama ada para penulis tersebut mempunyai hak untuk mengutarakan pandangan sedemikian?

Mereka telah secara palsu menuduh kami cuba menggunakan undang-undang untuk membuat perbezaan pendapat dalam Islam sebagai satu jenayah supaya dapat memonopoli pengertian dan kandungan Islam padahal sebenarnya, kami telah menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat aduan terhadap penulis tersebut serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.

Kami terkejut dengan pendirian tidak konsisten yang telah diambil oleh mereka mengenai hak asasi manusia. Selama ini mereka menyeru ke arah persamaan di sisi undang-undang ( equality before the law ) dan tidak campur tangan dalam proses kehakiman ( non-interference in the judicial process ).

Apakah penyokong kuat kepada Perisytiharan Hak Asasi Sejagat ini menuntut agar dilakukan pendakwaan terpilih ( selective prosecution ) apabila ia berkaitan dengan para intelektual Muslim yang dikatakan sederhana, progresif dan moden?

Kami tidak dapat memahami apakah maksud kenyataan mereka: "untuk Islam kekal relevan dan terus difahami oleh masyarakat Malaysia, semua pihak perlu turut serta untuk mentafsirkan apakah pengertian Islam kepada semua warganegara dalam masyarakat berbilang etnik dan pelbagai agama".

Adakah mereka bermaksud bahawa seorang atheist, penjenayah, pemimpin korup dan penzina mempunyai hak yang sama dengan ulama Islam untuk mentafsirkan pengertian Islam? Tiada seorang yang waras pun, apatah lagi seorang yang beriman dan mengamalkan Islam, akan menerima cadangan tersebut.

Bagi orang Islam, makna Islam telah termaktub dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Mesejnya kekal sama tidak kira ia di dalam masyarakat majmuk pelbagai bangsa dan agama atau hanya masyarakat Islam. Kita perlu memahami makna mesej tersebut. Bukan semua orang layak memikul tugas mentafsirkan Islam. Hanya mereka yang mempunyai kelayakan dan tawadhuk mampu melakukannya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.