Pengiklanan

Lagi pelajar KUIS luahkan perasaan

(Dikemaskini )
Pelajar Malang  |  Surat

Assalamualaikum. Saya merupakan seorang pelajar Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan kini berada di semester 4 dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam (Perbankan).

Saya amat tertarik membaca mengenai aduan yang dibuat oleh ibu kepada pelajar KUIS mengenai yuran KUIS yang membebankan pelajar.

Di sini saya ingin mendedahkan mengenai peraturan KUIS yang turut membebankan mahasiswa. Baru-baru ini, KUIS telah mengenakan peraturan baru yang dianggap tidak relevan dan banyak membebankan pelajar. Peraturan tersebut ialah:

1.    Pelajar tidak dibenarkan untuk membawa masuk kenderaan sendiri ke dalam kawasan kolej sama ada untuk ke kelas, atau ke asrama.

2.    Semua pelajar diwajibkan tinggal di asrama. Dan pelajar yang tinggal di luar kawasan kolej dikehendaki masuk dan tinggal di asrama.

Kami para pelajar telah berbincang dan ‘bertekak’ dengan pihak pentadbir mengenai peraturan baru ini namun, pihak kolej tidak mahu bertolak ansur demi pelajar.

Bagi peraturan pertama, tindakan KUIS melarang pelajar untuk membawa kenderaan masuk ke dalam kawasan kolej telah membebankan para pelajar untuk ke kelas, keluar makan, balik kampung, ke perpustakaan luar, membeli barangan harian, dan sebagainya.

Apabila kami mahukan sebab, pihak kolej memberikan alasan tidak munasabah seperti tidak mahukan berlaku pencemaran udara, tidak cukup tempat letak kereta, masalah pergaulan pelajar lelaki dan perempuan, dan masalah kesesakan lalu lintas.

Hal ini menunjukkan seolah olah pentadbir di KUIS adalah seorang budak yang tidak matang. Mereka melarang pelajar menggunakan kemudahan teknologi yang sedia ada serta mereka tidak dapat berbuat apa-apa mengenai masalah kekurangan tempat letak kereta sedangkan yuran yang dikenakan kepada pelajar KUIS terlalu tinggi.

Sebut pasal yuran, KUIS pernah popular suatu ketika dahulu apabila pelajar membuat satu demonstrasi membantah kenaikan yuran pengajian. Mana tidaknya, yuran pinjaman bagi seorang pelajar ijazah lepasan stpm adalah sebanyak RM64000.

Soal duit, KUIS memang pakar namun kebajikan pelajar tidak terjaga. Apabila motosikal atau kereta tidak dibenarkan dibawa, pelajar akan sukar untuk pergi ke kelas yang jauhnya adalah hampir satu kilometer dari asrama. Sekiranya hujan, sudah tentu pelajar tidak dapat ke kelas sementara menunggu alor gajah yang kian lama sedang dibina.

Pelajar juga lebih gemar makan di luar disebabkan makanan di kafe mahal dan tidak sedap. Pernah sekali pelajar mengalami keracunan disebabkan kebersihan kafe tidak dijaga. Jadi, peraturan ini benar-benar membebankan pelajar KUIS.

Bagi peraturan kedua, semua pelajar dipaksa tinggal di asrama disebabkan semakin ramai pelajar memilih untuk tinggal di luar kawasan kolej. Hal ini kerana yuran penginapan yang dikenakan ke atas pelajar terlalu mahal berbanding sewa rumah di luar.

Yuran yang dikenakan adalah sekitar RM1000 untuk 4 bulan pengajian atau 1 semester. Berbanding tinggal di luar atau rumah sewa, pelajar hanya perlu membayar maksimum RM100 sebulan.

Perbezaan ini amat ketara dan disebabkan tinggal di luar lebih murah, pelajar memilih untuk tidak memasuki asrama KUIS.

Jadi, peraturan baru ini telah membebankan ramai pelajar terutamanya pelajar yang miskin dan pelajar yang tidak membuat pinjaman. Kami pelajar KUIS berharap, perubahan dapat dilaksanakan demi kepentingan semua, bukan hanya kepentingan pihak pentadbiran KUIS.

Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

Tukar sekarang Tidak, terima kasih