malaysiakini logo
ADS
story-image
ADS

Sebagai seorang editor dan juga penulis di sebuah syarikat penerbitan buku-buku Islam, saya berasa terharu dan teruja kerana akhirnya apa yang diimpikan selama ini menjadi kenyataan. Setinggi ucapan tahniah kepada pihak penganjur Ekspo Buku Islam yang berlangsung pada 27 Oktober-1 November 2011, Sinergi Ilmu Sdn Bhd melalui pengarah urusannya, Encik Jaini.

Pemilihan waktu dan lokasi yang tepat juga dilihat sangat memainkan peranan yang besar kepada kejayaan ekspo buku Islam ini. KL Sentral sesuai dengan namanya adalah pusat bagi hampir semua jenis pengangkutan awam sememangnya menjadi tumpuan saban hari. Maklumat yang diperolehi daripada pihak pengurusan KL Sentral, secara purata KL Sentral menerima serama 150,000 orang pengunjung setiap hari.

Selain daripada itu, gabungan promosi daripada para penerbit selaku pengajur bersama seperti Telaga Biru melalui majalah popular mereka Solusi dan Gen Q, Galeri Ilmu melalui majalah Anis dan Asuh, PTS Publications & Distributors Sdn Bhd melalui iklan muka penuh dalam Harakah dan dalam majalah lain seperti Milenia Muslim, Aniqah, majalah Dakwah terbitan Yadim dan yang paling berpengaruh adalah ulangan promosi dalam saluran media Islam iaitu radio IKIM. Tidak ketinggalan pihak Jemari Seni selaku penerbit novel berunsur Islam yang semakin meningkat naik juga memainkan peranan yang besar dalam Ekspo Buku Islam kali ini.

Kita dapat lihat betapa penerbit buku-buku Islam ini bersatu dan memangkinkan suatu ukhwah yang diterjemahkan atas nama dakwah dan bukan kepentingan keuntungan semata-mata. Saya yakin dan percaya, andai semangat ini terus digembleng antara para penerbit, tidak mustahil budaya membaca akan menjadi budaya yang tekal dalam masyarakat Malaysia yang majoritinya adalah umat Islam. Kerana cabaran yang sebenar bagi para pendakwah, penulis dan penerbit pada hari ini adalah membina atau membangunkan para pembaca dan pencinta buku tegar di kalangan masyarakat khususnya umat Islam itu sendiri.

Sering kali kita merindui dan mengimpikan ekspo buku sebegini, jiran Malaysia iaitu Indonesia sudah lama menganjurkan Pesta Buku Islam mereka yang menerima kunjungan daripada para bukuwan dari Malaysia sendiri khususnya wakil para penerbit yang mahu melesenkan buku-buku tulisan penulis dari seberang itu. Dengan bermula Ekspo Buku Islam ini, kita mengharapkan penerbit dari seberang pula akan datang dan mengimport karya penulis tempatan ke sana.

ADS

Semoga usaha pihak penganjur ini akan disokong mendapat perhatian pihak kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi, Kebudayaan dan Warisan bawah pimpinan Datuk Seri Rais Yatim dengan memberikan sokongan sama ada berbentuk dana khusus dan mungkin juga runding cara dengan pihak pengurusan KL Sentral bagi mendapatkan bajet sewa yang minimum bagi lokasi ekspo tersebut. Pihak seperti Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) juga wajar menjadi tulang belakang kepada program dakwah ini.

Semoga Ekspo Buku Islam ini akan terus berkembang dari tahun ke tahun dan menjadi acara tahunan 'wajib' bagi semua penerbit buku Islam, selain daripada itu kita juga mengimpikan, kalaupun mustahil dianjurkan oleh para penerbit mungkin pihak kementerian berkenaan melalui bajet kepada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menganjurkan Ekspo Buku Penulis, Ekspo Buku Sastera dengan menjadikan KL Sentral sebagai lokasi tetapnya.

Bayangkan para sasterawan negara dan pendakwah tersohor tanah air dengan gerai masing-masing, mengedarkan sendiri karya mereka kepada pengunjung malah langsung boleh beramah mesra di samping program bual bicara dan bedah buku serta bimbingan berkarya. Tidak mustahil, budaya membaca akan lebih bersemarak dengan kenalnya masyarakat masa kini kepada para aktor di sebalik buku-buku yang mereka baca sebelum ini. Tidak payah lama, hanya Sabtu dan Ahad, di KL Sentral dan urusan membawa buku dan menjualnya 100% diserahkan kepada pihak penulis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!