Pada 31 Ogos ini, kita akan menyambut ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke-46 tahun - kemerdekaan yang diraih tanpa darah dan air mata. Seperti biasa lagu-lagu patriotik akan berkumandang berulangkali menerusi kaca TV dan radio.
Iramanya memang segar dan ceria. Manakala bendera jalur gemilang, kecil dan besar, dipasang di tempat -tempat yang sesuai bagi menyambut kemerdekaan negara. Di pagi hari kemerdekaan perbarisan diadakan di peringkat negeri dan kebangsaan sambil mempamerkan kejayaan negara.
Maka sambutan merdeka bagaikan terus menjurus kepada lagu-lagu patriotik, mengibar jalur gemilang dan mengadakan pelbagai perbarisan dan perarakan. Rata-rata yang terlibat adalah dari generasi muda.
Apakah rakyat Malaysia telah benar-benar bebas daripada cengkaman unsur-unsur kezaliman? Apakah kita betul-betul bersepadu? Apakah semua rakyat telah menikmati kesejahtera hidup yang sempurna? Apakah jiwa kita telah merdeka?
Memang benar pembinaan Menara Petronas, Koridor Multimedia (MSC), Formula I dan banyak lagi simbol mega moden boleh menyilaukan kita dengan erti sebenar pengisian kemerdekaan. Meskipun Malaysia sudah berusia hampir setengah abad, namun kita masih bergelut untuk melepaskan diri daripada jeratan masalah.
Masalah begitu banyak, termasuk korupsi, kesenjangan pendapatan, kebebasan demokrasi, nepotisme dan hutang-puitang para konglomerat, sehingga boleh membinggungkan para pemimpin. Mungkin pantun klasik yang dikaryakan oleh seorang tokoh pejuang kemerdekaan Dr Burhanudin Helmi dapat memberikan erti kemerdekaan.
Di atas robohan Kota Melaka
Kita dirikan jiwa merdeka
Bersatu-padulah segenap baka
Membela hak keadilan pusaka
Nama Dr. Burhanudin seperti juga pejuang nasionalis tulen lain, antaranya Ahmad Boestaman dan Ishak Hj Muhammad( Pak Sako), belum lagi mendapat tempat yang sewajarnya dalam sejarah perjuangan tuntutan kemerdekaan.
Sumbangan berharga mereka harus diberi tempat yang terhormat dalam negara, bukan sekadar 'pejuang pinggiran' dalam dokumen rasmi kerajaan. Dalam pembentangan Bajet 2003 Dr Mahathir Mohamad ada menyentuh mengenai perihal anak-anak muda di negara ini.
Mengikut beliau, orang muda hari ini adalah anak-anak kelahiran selepas kemerdekaan, yang hanya tahu untuk melaungkan merdeka tetapi tidak memahami makna sebenar perkataan tersebut.
