malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Bintang popular, legenda penyeri video muzik Hazrul Nizam
Diterbitkan:  Oct 24, 2024 2:31 PM
Dikemaskini: 6:31 AM
ADS

Penyanyi Hazrul Nizam bersyukur apabila video muzik untuk single berjudul Rawan yang dikeluarkan selepas 21 tahun mendapat kerjasama pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda dan Rahim Razali.

Menurut penyanyi asal Singapura itu, penampilan artis legenda dan popular membantu menambah seri kepada video muzik yang dilancarkan pada 13 Okt lalu.

Video muzik itu dihasilkan pengarah terkenal, Bobby Husaini.

“Saya amat bersyukur kerana pelakon-pelakon legenda dan handalan sudi bekerjasama untuk video muzik terbitan HMA Entertainment itu,” katanya.

Menurut Hazrul Nizam, video muzik berkenaan dibuat dengan sedikit kelainan bagi menggambarkan kehilangan diri berbanding mengangkat kisah-kisah cinta yang klise.

Hazrul Nizam bersama Rahim Razali

“Untuk video muzik ini saya memang nak bercerita, bukan sekadar muka saya menyanyi di dalamnya.

“Saya nak menceritakan situasi yang menggambarkan seseorang yag kehilangan diri kerana kalau cerita pasal cinta macam dah banyak lagu sebegitu.

“Saya nak buat kelainan sikit dan alhamdulillah apabila saya berkongsi idea dengan pasukan saya, Bobby, dia pun menambah idea mengikut kemahuan saya dan terciptalah muzik video ini,” katanya dalam kenyataan.

Hazrul Nizam berkata, selepas dilancarkan di semua platform penstriman muzik termasuk YouTube, Rawan menerima maklum balas positif pendengar.

Menurut bekas peserta program realiti Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) itu lagi, single yang ditulis dan digubah oleh Amylea Azizan berkenaan menjadi pengubat rindu seluruh peminat selepas sekian lama menantikan kemunculan buah tangan terbarunya.

Kerana tiada permit

Tambah Hazrul Nizam, dengan Rawan, ia boleh dianggap jalan untuk membuat kebangkitan semula dalam industri muzik.

“Ramai penyokong saya sangat suka lagu Rawan dan mungkin terubat rindu untuk saya keluarkan lagu solo selepas 21 tahun tiada lagu sejak Kaulah Segalanya.

“Lagu solo ini ambil masa agak lama kerana selepas GV9 saya ada lancarkan lagu duet bersama penyanyi Singapura, Diana Nazyra berjudul Sejuta Kata, kemudian bergabung dengan kawan baik saya di GV9 iaitu Dina Nadzir untuk lagu Berat Hati.

“Saya sangat teruja untuk lagu ini. Jadi selepas GV9 itu saya tidaklah berdiam diri saja. Masih berkarya dan akan terus berkarya,” katanya mengenai Rawan yang juga menjadi runut bunyi drama Satu Hari Nanti dan dibintangi antaranya pelakon Bella Astillah itu.

Dina Nadzir

Sementara itu, Hazrul berkata, dia masih menerima undangan untuk menjayakan persembahan namun terpaksa menolak beberapa tawaran di Malaysia berikutan tiada permit daripada Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filemdan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).

Katanya, selepas GV9, dia pulang ke Singapura untuk uruskan kerja hartanahnya.

“Alhamdulillah, banyak juga undangan di Singapura dan Malaysia. Tapi kerana tiada permit Puspal, banyak yang terpaksa saya tolak,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen