malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Nora dicerai atas paksaan tapi nafi bekas suami diugut dengan pistol
ADS

Penyanyi Nora Ariffin mendakwa wujud unsur paksaan sewaktu bekas suaminya melafazkan cerai kepadanya dalam klip video yang tular baru-baru ini.

Kata Nora, insiden memeranjatkan itu berlaku di rumah sesudah dia dan Rushdi Ramli selesai menunaikan solat subuh bersama.

“Bekas suami terima panggilan telefon yang memintanya untuk menceraikan saya. Sewaktu cerai dilafazkan saya memang terkejut hingga lidah jadi kelu kerana kami tidak bergaduh langsung sebelum itu.

“Malah saya sendiri tidak menyedari apakah kesilapan yang telah saya lakukan kepadanya.

“Memang berlaku paksaan dan ia berlaku depan saya selepas dia menerima panggilan telefon,” katanya tanpa menjelaskan dengan lebih terperinci siapa individu ketiga yang dimaksudkan.

Bagaimanapun Nora, 51, menafikan spekulasi liar kononnya Rushdi terpaksa melafazkan cerai kerana diugut dengan pistol.

Kata penyanyi Di Persimpangan Dilema itu, semua pihak boleh membuat spekulasi kerana mereka tidak berada di tempatnya.

“Tidaklah sampai begitu sekali. Saya pun tidak sangka netizen membuat spekulasi sampai tahap itu. 

“Memang bekas suami berada depan saya sewaktu melafazkan cerai.

“Hanya saya tahu apa sebenarnya yang berlaku. Pistol atau pisau memang tiada,” katanya.

Nora berkata demikian selepas sidang akhbar konsert Hanya Satu Nora Ariffin di ibu negara hari ini.

Konsert solo Nora itu bakal berlangsungpada 18 Disember ini di PJ Pac, One Utama di Petaling Jaya, bermula jam 8.30 malam.

Pada 12 Ogos lalu, Nora menggemparkan dunia hiburan tanah air apabila mengumumkan Rushdi menceraikannya dengan talak satu.

Lafaz cerai bekas suaminya itu dirakam oleh Nora dan kemudian dimuat naik penyanyi tersebut di Instagram. 

Pada sidang media hari ini, Nora mengesahkan bahawa lafaz cerai itu bukan disebut pada hari sama video tersebut dimuat naik di media sosial.

Nora sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan komposer terkenal, Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat orang anak. Johan meninggal dunia akibat sakit jantung pada 24 Mac 2017.

Sementara itu, Nora memaklumkan dia hanya mampu bersangka baik dengan apa yang berlaku dan reda dengan takdir yang menimpanya.

Katanya, dia juga memohon maaf kepada Rushdi kerana menghebahkan perceraian tersebut di platform media sosial miliknya.

“Saya serah semua kepada Allah. Jika berbaik semula, itu ketentuan-Nya. Kalau tidak ada jodoh, tak mengapa.

“Saya juga mohon maaf kepada Rushdi kerana kongsikan video berkenaan ekoran terlalu ikut emosi dan dia maafkan saya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen