Membayangkan aksi menjilat kaki pun sudah timbul rasa geli apatah lagi jika diri sendiri memang perlu melakukan aksi itu.
Demikian situasi “menjijikkan” dialami pelakon Hariz Hamdan sebaik dia membaca skrip yang menuntutnya melakukan aksi menjilat kaki Farah Ahmad untuk penggambaran drama bersiri X-Change.
Kata Hariz penggambaran yang dilakukan sewaktu hari hujan itu terpaksa dilakukan sebanyak lima kali (take).
“Jijik dengan babak itu sebab penggambaran dilakukan ketika hujan dan berlumpur, memang rasa nak muntah,” katanya.
Pada masa sama, Hariz, 22, secara berseloroh berkata, dia enggan dimarahi Farah kerana gagal memenuhi tuntutan watak yang diberikan.
Hal itu kerana, katanya, Farah juga adalah jurulatih lakonannya dalam siri premium Astro Originals berkenaan.
“Takkanlah saya nak kata saya tak nak buat, nanti dia marah.
“Sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai pelakon untuk memenuhi tuntutan tersebut demi watak yang diberi.
“Jadi saya kena buat yang terbaik dan tolak tepi semua perasaan jijik walaupun memang ada rasa tak selesa,” katanya yang melakonkan watak sebagai Qabil, abang kepada dua adik lelaki dalam drama berkenaan.
Hariz berkata demikian pada majlis pengumuman X-Change di sebuah kompleks beli-belah di Cheras, malam tadi.
Naskhah 10 episod arahan Norhanisham Muhamad atau Labu dan hasil ciptaan Lemuel Ong itu menampilkan siri padat aksi jenayah, romantik serta mengetengahkan subjek kawalan autoritarian dalam sesebuah keluarga.
Drama itu turut dibintangi Rosyam Nor, Arfie Shah, Joey Leong dan Sadiq M Jamil.
Menurut Hariz, pada asalnya aksi menjilat kaki Farah itu bukanlah seperti yang dimaklumkan dalam skrip dibacanya.
Sebaliknya kata Hariz, aksi itu ditambah baik ketika mereka berada di lokasi penggambaran.
“Asalnya saya hanya perlu cium kaki, tapi apabila sampai di tempat set lain pula jadinya sebab ada improvisasi,” katanya.
Walaupun sekadar menjalankan tugas, Hariz berkata, memang disedari babak tersebut bakal mengundang kecaman, justeru dia sudah bersedia menerima kritikan.
“Saya berikan sepenuh hati saya untuk X-Change sebab ia 'bayi' pertama Astro Originals saya. Ramai pelakon yang mahu berlakon dalam jenama ini.
“Ia adalah peluang yang tidak harus saya lepaskan. Jadi, saya sedia terima kecaman sebab ia saya anggap sebahagian daripada proses pembelajaran untuk jadi yang terbaik,” katanya.