Sejak penganjuran julung kali pada 2022, Kuala Lumpur Prosperity Walk menjadi acara tahunan yang memberi makna kepada identiti kawasan Bukit Bintang dengan semangat FAME - iaitu akronim untuk Festival [F], Seni & Budaya [A], Muzik & Tarian [M], Elektronik & lain-lain [E].
Justeru, Rangkaian Komuniti Bukit Bintang (NBBC) menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Pelancongan BBKLCC dalam menyemarakkan kemeriahan di ibu kota dengan penganjuran Kuala Lumpur Prosperity Walk buat kali ketiga esok sempena sambutan Chap Goh Mei.
Menurut Pengerusi Penganjur NBBC, Jack Lim, acara itu menjadi pemangkin kepada pembangunan sosial-ekonomi setempat.
“NBBC amat bersyukur dan berterima kasih di atas sokongan daripada pihak berkuasa tempatan dan pelbagai NGO.
“Kuala Lumpur Prosperity Walk adalah cerminan kepada keharmonian jalinan tradisi dan kemodenan yang mentakrifkan Bukit Bintang.
“Acara pada tahun ini menyasarkan kepada pembangunan ekonomi, merangsang pemerkasaan komuniti, dan meningkatkan kelestarian alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Lim, terdapat begitu banyak perkara untuk diterokai di kawasan tersebut.
“Oleh itu kami menjemput semua orang untuk menyertai kami bagi meraikan kedinamikan budaya komuniti setempat bersama-sama,” tambahnya.
Sambutan tahun ini lebih bermakna dengan sokongan berterusan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menyenaraikan Kuala Lumpur Prosperity Walk sebagai sebahagian daripada aktiviti rasmi sambutan Tahun Baru Cina.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Kamarulzaman akan merasmikan upacara pelepasan (flag-off) Kuala Lumpur Prosperity Walk di Dataran Merdeka pada jam 5.15 petang.
Laluan utama merangkumi pelbagai mercu tanda ikonik Bukit Bintang dan ia termasuk Pasar Seni, River of Life (RoL), pusat membeli-belah komuniti GMBB, Hotel Federal, Lot 10, Plaza Low Yat, Sungei Wang, Berjaya Times Square, dan berakhir di Lalaport.
Di sepanjang perjalanan, para peserta juga akan melalui kawasan ikonik lain, termasuk Jalan Petaling dan Jalan Alor.
Tarian naga dan singa akan dipersembahkan untuk hiburan pengunjung pada majlis pelepasan, manakala pakaian kostum berwarna-warni dan persembahan muzik akan mengiringi peserta di sepanjang laluan, yang mempamerkan keunikan intipati dinamik bandaraya.
Untuk rekod, acara ini pada awal dipromosikan baru-baru ini sebagai Unity Parade Kuala Lumpur 2024, namun ditukar kepada yang asal atas alasan tertentu yang tidak dapat dielakkan.
Laluan kedua juga disediakan yang merupakan laluan lebih pendek berbanding laluan utama. Dengan hanya sejauh 1.4 kilometer, laluan ini akan mengambil masa kira-kira 30 minit dengan berjalan kaki.
Bermula di kawasan air pancut Pavilion KL, ia akan membawa peserta melalui pelbagai mercu tanda seperti Starhill, Fahrenheit 88 dan Lot 10, dan laluan kedua ini akan bergabung dengan laluan utama di Menara Hai O di Jalan Bukit Bintang.
Peserta akan menamatkan perjalanan di Lalaport dan bakal disambut oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tiong King Sing.
Ng Yih Chen, Pengerusi Persatuan Pelancongan BBKLCC dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur Kuala Lumpur Prosperity Walk menambah, acara itu bukan sekadar untuk meraikan perayaan Tahun Baru Cina.
“Ia juga untuk meraikan sumbangan komuniti setempat dalam pembangunan fabrik sosial Kuala Lumpur.
“Dalam dua acara yang lalu, kami telah membawa sumbangan yang memperkasakan masyarakat setempat.
“Kami berhasrat untuk mengulangi kejayaan yang sama pada tahun ini, dan itu hanya boleh dilakukan dengan sumbangan dan sokongan daripada para penyumbang, penaja dan rakan kongsi kami,” katanya.