Pelakon Beto Kusyairy mengakui sukar untuk dia memuaskan hati semua pihak terutama bagi kalangan yang mempersoalkan usaha konvoi motosikal berkuasa tinggi disertainya selepas terlibat dalam kemalangan baru-baru ini.
Kata Beto, banyak pihak yang tidak tahu apa kisah sebenar di Kilometer 349 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran Ladang Bikam itu kecuali mereka yang terbabit.
Justeru, menurut Beto, amat tidak wajar untuk pihak yang tidak mengetahui hal sebenar membuat andaian yang bukan-bukan berhubung isu tersebut.
“Susah nak cerita terlalu terperinci sebab kes masih disiasat polis.
“Apabila baca artikel pula, ramai yang menyalahkan dan tanya - kenapa nak berkonvoi semasa musim hujan, kenapa nak ke Ipoh?
"Tak bolehkah buat solat hajat di rumah saja atau nak tunjuk pada siapa, Allah atau manusia... ini bagi saya semua toksik.
“Kalau dah toksik, tak boleh nak buat apa. Jadi, mustahil untuk puaskan hati semua pihak,” katanya.
Menurut pelakon Imaginur itu lagi ketika insiden itu berlaku dia menyertai konvoi Solidariti Wings Motogang Society ke Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh Perak dan diketuai vokalis Wings, Awie.
Katanya, tujuan utama mereka ke situ adalah menunjukkan sokongan terhadap Palestin yang sedang ditindas Israel.
“Apa yang penting adalah kami nak bersolidariti; nak bagitau kita tak setuju dengan situasi berlaku di Gaza.
“Ini antara usaha kecil dari kami, sekurang-kurangnya. Syukur usaha itu tetap diteruskan walaupun ada ahli konvoi kemalangan,” katanya.
Beto berkata demikian selepas majlis pratonton filem terbaru lakonannya magiK di sebuah kompleks beli-belah di Bukit Jalil malam tadi.
Dah boleh buka mata
Filem arahan Yasu Tanaka itu dijadual ditayangkan di seluruh pawagam tanah air mulai 30 Nov ini.
MagiK merupakan filem kedua arahan Tanaka selepas Nota. Ia bukan sekadar mengangkat kisah gadis pekak yang mampu berkomunikasi dengan kelip-kelip, malah menjadi wadah untuk membolehkan penonton mendekati golongan berkenaan.
Selain Beto, turut menjayakan naskhah itu ialah Nadia Aqilah, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman, Kamarul Eqifshah dan bintang cilik, Qisya Hairulzain.
Mengulas lanjut, Beto berkata, tiga individu mengalami terbabit dalam kemalangan tersebut namun dia bersyukur dia hanya mengalami kecederaan ringan.
Menurutnya, kini dia beransur pulih, cuma perlu bergantung kepada ubat penahan sakit yang menyebabkannya sukar tidur malam.
“Apabila makan ubat itu saya tak boleh tidur. Kalau tak makan, badan terasa berdenyut-denyut pula,” katanya.
Menurut Beto, ketika ini dia bersyukur kerana seorang ahli konvoi yang berada dalam keadaan kritikal sudah sedarkan diri.
“Sepanjang di Ipoh saya berada di sampingnya kerana mahu tahu keadaan dia. Semalam dia sudah buka mata dan boleh duduk.
“Saya pula tak alami sebarang kecederaan teruk walaupun pada mulanya saya mengesyaki ada bahagian anggota badan yang patah,” katanya yang tidak serik untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi lagi.