malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Qisha redah cabaran untuk 'bercakap' dengan kelip-kelip
ADS

Bintang cilik, Qisha Hairulzain mengakui tertarik melakonkan watak kanak-kanak pekak dalam filem magiK arahan pengarah Jepun, Yasu Tanaka kerana keistimewaan dimiliki watak bernama Kit itu.

Qisya yang juga anak pelakon Amanda Misbun itu berkata, dia kagum dengan Kit sebaik membaca jalan ceritanya yang memaparkan watak berkenaan boleh berkomunikasi dengan kelip-kelip.

“Pada mulanya, saya berasa gementar untuk melakonkan watak Kit itu. 

“Namun, ia menjadi mudah apabila pengarah, menjadikan filem Disney kegemaran saya, Frozen sebagai contoh di mana Puteri Elsa dilahirkan dengan kuasa mencipta salji dan ais manakala Kit pula mempunyai kuasa berkomunikasi dengan kelip-kelip.

“Pengarah juga banyak membantu saya menjiwai babak dengan kelip-kelip khayalan yang turut menampilkan sentuhan Imej Janaan Komputer (CGI),” katanya dalam kenyataan.

Berkongsi pengalaman mempelajari bahasa isyarat dengan Bea Tanaka yang juga bekas guru pendidikan khas OKU pendengaran pula, kata Qisya, dia berasa seronok sepanjang proses pembelajaran berkenaan.

“Melakonkan watak sebagai kanak-kanak pekak juga mudah kerana saya tidak perlu menghafal sebarang dialog,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Qisya, dia terpaksa berdepan kesukaran ketika penggambaran dilakukan atas bot dan sungai pada waktu malam.

Tambahan pula katanya, watak itu dekat dengan alam semula jadi sedangkan dirinya seorang kanak-kanak yang berasal dari bandar.

“Pastinya berdepan cabaran ketika penggambaran di sungai dan dalam hutan.

“Penggambaran di sungai lebih mencabar kerana dilakukan pada waktu malam yang gelap.

“Saya juga berasa takut akan terjatuh ke dalam sungai tapi ada anggota bomba di sana untuk menjaga keselamatan pelakon,” katanya yang turut menyertai tayangan khas filem magiK  bersama penonton OKU pendengaran di YMCA Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Yasu Tanaka

Sementara itu, Yasu berkata, pemilihan Qisya untuk melakonkan watak Kit juga diadakan melalui proses uji bakat yang dijalankan sebelum ini.

Katanya, dia menyukai Qisya kerana memiliki karakter yang sangat pendiam malah ia sama seperti watak Kit dalam filem magiK.

“Qisya juga sangat fokus dan memahami arahan di lokasi penggambaran filem ini.

“Menurut ibunya pula, pada asalnya Qisya sangat gementar dan hampir tak mahu teruskan penggambaran ketika babak atas bot pada waktu malam tapi akhirnya dia mengatasi ketakutannya dan melakukan babak itu dengan yakin,” katanya.

Lihat Komen