malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Erra Fazira dituduh kantoikan sikap Engku Emran
ADS

Pelakon dan penyanyi Erra Fazira memohon dirinya tidak dikaitkan dengan penceraian bekas suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin dengan Noor Nabila.

Kata Erra, kenyataan yang mendakwa dia mendedahkan “sikap sebenar” Engku Emran susulan penceraian pasangan itu adalah sesuatu yang tidak benar.

“Jangan macam ini... Nak sensasi pun, jangan buat fitnah! 

“Saya tak pernah memberi sebarang komen sebegini,” tegasnya.

Menurut pemilik nama Fazira Wan Chek itu, Engku Emran masih bapa kepada anaknya.

Erra Fazira

Justeru, dia tidak akan berbuat perkara yang melanggar batas.

“Saya hormati privasi ayah kepada anak saya dan pasangan,” katanya.

Erra mengiringi posting tersebut dengan sebuah laporan dipercayai dari media sosial memaparkan dia didakwa mendedahkan punca penceraian Engku Emran dengan kakak Neelofa itu.

Semalam, Engku Emran, 48, melafazkan talak satu terhadap Noor Nabila di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. 

Penceraian berlaku selepas Noor Nabila, 39, pada minggu lalu mendedahkan keputusan itu diambil selepas mereka tidak lagi tinggal sebumbung sejak Januari lalu.

Noor Nabila dan Engku Emran bernikah pada 19 Mac 2021. Ia adalah perkahwinan ketiga buat Noor Nabila selepas berpisah dengan Sharnaaz pada 9 Julai 2020.

Hasil perkongsian hidup dengan Sharnaaz, mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Jebat Jayden yang kini berusia lima tahun.

Engku Emran mendirikan rumah tangga dengan Erra pada 25 Oktober 2007. Mereka sah bercerai selepas tujuh tahun melayari bahtera rumah tangga.

Emran dan Erra dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Engku Aleesya Engku Emran yang kini berusia 14 tahun.

Sebelum menikahi Noor Nabila, usahawan itu  berkahwin dengan pelakon Indonesia, Laudya Cynthia Bella pada 8 September 2017. Perkahwinan itu juga berakhir dengan penceraian pada 2020.

Pada masa sama, Erra menyeru orang ramai agar tidak membuat kenyataan tidak wajar mengenai kisah hidup seseorang yang mereka tidak tahu.

“Jangan persendakan perjalanan hidup seseorang kerana kita sendiri tak tahu nasib dan perjalanan kita kelak,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen