malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ismahalil sujud syukur terlepas pertuduhan edar dadah
ADS

Bekas penyampai radio terkenal, Ismahalil Hamzah menangis sujud syukur hari ini selepas didapati tidak bersalah atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dengan berat keseluruhan 374.6 gram (g) dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Muhammad Jamil Hussin, membuat keputusan melepas dan membebaskan pengasas Bapakku FM berkenaan selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah diakhir kes pembelaannya.

Pada 21 Februari tahun lalu, Ismahalil mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Sepanjang prosiding perbicaraan, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad manakala Ismahalil diwakili peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar.

Sebelum ini, Ismahalil, 50, yang merupakan saksi pembelaan pertama memberitahu mahkamah bilik tingkat atas kediamannya di Jalan Semarak iaitu tempat dadah ditemukan ketika serbuan polis, bukan digunakannya secara eksklusif, sebaliknya turut diakses oleh pihak lain.

Tertuduh menjelaskan, bilik tersebut turut digunakan oleh sekumpulan deejay lain dan krew stesen radio swasta berkenaan sebelum menunggu giliran untuk on air.

Bilik berkenaan turut menjadi ruang persinggahan pihak pengurusan kedai dan tetamu.

Menurutnya, bilik itu yang terletak bersebelahan dengan bilik tidur kelamin bebas digunakan oleh para deejay untuk berehat, solat dan menyimpan barang peribadi seperti pakaian, beg galas dan komputer riba.

Sementara itu, isteri tertuduh Nor Haslinda Abdul Manaf, 50, yang merupakan saksi pembelaan keempat ketika memberi keterangan turut menyatakan bilik berkenaan digunakan oleh pihak lain.

Bagaimanapun, dalam pernyataannya kepada polis, saksi itu berkata, bilik tersebut hanya digunakan oleh suaminya untuk berehat.

Katanya, kali terakhir bilik itu dikemas ialah pada 1 Ogos 2021 dan dia tidak memasukinya selepas itu hingga penangkapan suami.

Pada 27 Februari lalu, Ismahalil diperintah membela diri atas pertuduhan itu.

Mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu di akhir pendakwaan.

Muhammad Jamil, berkata, mahkamah mendapati 22 peket dadah yang dijumpai dalam bilik tertuduh berada dalam kawalan dan jagaannya.

Seramai lima saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula Oktober 2022 lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen