malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
'Bisikan' pada anak Zahid macam kakak-adik, kata Ras Adiba
ADS

Bekas pengerusi Bernama, Ras Adiba Radzi, menyatakan rasa sedikit terperanjat apabila "bisikannya" kepada anak timbalan perdana menteri akhirnya diumumkan kepada orang ramai.

Dihubungi Malaysiakini, Ras Adiba berkata memang benar dia ada berbisik kepada Nurulhidayah Ahmad Zahid tetapi ia lebih bersifat daripada seorang berpangkat kakak dengan seorang adik.

“Berbisik itu memang benar, sebagai seorang yang berpangkat kakak dengan seorang adik.

"Saya berbicara (dengan Nurulhidayah) mengenai tugasan saya yang sudah pun berakhir di Bernama dan sebagai ahli Dewan Negara.

“Saya beritahu kepada beliau, sekiranya ada peluang tolonglah bisikkan dan beritahu (kepada Ahmad Zahid) yang saya ingin terus bertugas dan bekerja untuk komuniti serta memperkasakan komuniti saya... tidak lebih daripada itu," katanya hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Ras Adiba - yang mula dikenali sebagai penyampai berita TV3 - menyertai Bersatu dan menerima watikah keahliannya daripada presiden parti itu, Muhyiddin Yassin.

Susulan itu Nurulhidayah memberitahu keputusan Ras Adiba itu tidak ada kaitan dengan berakhirnya kontrak dia sebagai senator dan pengerusi Bernama baru-baru ini.

"Saya agak terkejut kerana menerima berita penghijrahan sahabat yang saya anggap kakak bersama parti Bersatu.

"Saya berharap keputusan Kak Deeb (Ras Adiba) ini tidak ada kena mengena dengan isu beliau tidak disambung term senator di Dewan Negara dan jawatan sebagai pengerusi Bernama,” katanya.

Nurulhidayah turut menjelaskan dia ada menyampaikan hasrat Ras Adiba kepada Ahmad Zahid namun bapanya tidak dapat membuat penentuan bagi "keputusan besar" tersebut.

Tak anggap satu kesalahan

Ras Adiba berkata di sebalik pendedahan Nurulhidayah itu dia tetap berterima kasih kerana dengan tindakan tersebut ada faedah yang diperolehi juga.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau (Nurulhidayah) kerana memberikan sekali lagi saya ruang di media sosialnya kerana dengan itu lagi ramai orang tahu akan pembabitan saya dengan Bersatu,” katanya.

Pada masa sama Ras Adiba menjelaskan dia merupakan individu dalam kategori orang kurang upaya (OKU) namun perlu bekerja sama seperti orang lain untuk meneruskan kehidupan.

Katanya, apa yang dibisikkan kepada Nurulhidayah sepatutnya tidak menjadi isu dan menganggap ia adalah salah satu usaha yang dibuatnya.

“Saya tidak minta apa-apa, cuma untuk terus diberikan peluang untuk bertugas atas pengalaman dan kesungguhan saya.

“Itu tidak salah pada saya. Sebagai seorang manusia dan umat Islam, kita seharusnya berusaha.

"Saya tidak kecewa tidak disambung di bawah pucuk pimpinan sekarang, kerana rezeki saya adalah daripada Allah, bukan manusia,” jelasnya lagi.

Mengulas mengenai penyertaannya sebagai ahli Bersatu Ras Adiba berkata langkah itu adalah adalah untuk menyokong aspirasi parti berkenaan dan untuk kesejahteraan rakyat.

“Fokus saya selain OKU juga adalah warga emas dan keseluruhan mereka yang berada di negeri Sembilan terutamanya di kampung saya di Sri Menanti.

“Terima kasih kepada Datuk Nurul yang begitu baik hati baik budi kerana menjelaskan bisikan saya.

"Selalunya kita berbisik itu sebagai rahsia, dan saya mendoakan agar ayahnya sihat sejahtera daripada pembedahan yang dilakukan tidak lama sebelum ini,” katanya.

Lihat Komen