malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
FDAM bermasalah lepas ahli mengadu pada ROS
ADS

Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menghadapi masalah sebelum seterusnya dibatalkan pendaftaran ekoran tindakan ahli persatuan itu membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Pemangku Presiden FDAM, Zulkifli M Osman berkata, asalnya, badan itu mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 18 Jan 2020 di Kuala Lumpur dan ia mendapat kelulusan daripada ahli.

“Malangnya akibat aduan yang dibuat oleh ahli membuatkan proses pengesahan ROS mengambil masa hingga pandemik Covid-19 melanda lalu melambatkan proses pengesahan.

“Sepanjang proses rayuan yang sedang berjalan kini, sebarang urusan rasmi termasuk bayaran yuran ditangguhkan hingga mendapat maklum balas dan kebenaran dari pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan, Zulkifli mendakwa FDAM masih dalam proses rayuan untuk mengekalkan badan itu sebagai sebuah entiti selepas diberi surat tunjuk sebab pada 7 Nov tahun lalu.

ROS kemudian dikatakan sudah membatalkan pendaftaran FDAM pada 7 Jun lalu.

Pembatalan itu kata Zulkifli adalah disebabkan perlanggaran sebahagian dari akta perlembagaan yang terdahulu.

Mantan presiden, Mahadi J Murat hari ini berkata, status badan itu saat ini telah terbubar secara automatik kerana rayuan atau jawapan diberi selepas diberi surat tunjuk sebab itu ditolak oleh ROS.

Mengulas soal rayuan itu, Zulkifli menjelaskan, ROS berpendapat rayuan dan tindakan yang diambil oleh pertubuhan tidak menunjukkan sebab-sebab yang cukup di sebaliknya.

“Walaupun pembatalan berkuat kuasa pada 7 Jun lalu namun FDAM diberikan masa selama sebulan untuk menyerahkan dokumen penuh rayuan kepada KDN.

“Susulan itu, pada 7 Julai lalu, FDAM menerima maklum balas daripada KDN bahawa rayuan sedang diteliti dan disemak.

“Ia bagi mendapatkan kepastian sekiranya wujud sebarang perlanggaran akta pertubuhan yang telah diluluskan oleh ahli pada EGM terbaru 11 Februari lalu.

“Justeri, diharap agar semua ahli bertenang dan tidak menimbulkan sebarang spekulasi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen