Selebriti popular, Neelofa, berharap peminat menghormati pendirian mana-mana ibu bapa terutama membabitkan kesediaan mereka berkongsi wajah anak masing-masing buat tatapan di media sosial.
Isteri pendakwah bebas, Haris Mohd Ismail, atau lebih dikenali Pencetus Ummah (PU) Riz itu berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada dia bimbang ‘insiden’ imej wajah anak sulung mereka tular tanpa kebenaran suatu ketika dulu berulang selepas melahirkan anak kedua.
“Tak adalah bimbang. Cuma, sebagai ibu bapa ada sebab kami berbuat demikian (tak dedah wajah anak sebaik kelahiran) iaitu atas alasan perkara yang kami percaya.
“Secara realiti ia juga sah. Kami hanya nak elakkan beberapa perkara. Jika ada ibu bapa lain yang mendengar pendapat ini, saya percaya mereka juga bersetuju bahawa ia adalah hak masing-masing.
“Jadi, saya harap kalau boleh cakap sebagai seorang ibu, masyarakat harap dapat fahami serta hormati keputusan kami berhubung perkara ini,” katanya.
Neelofa, 34, yang kini sarat berbadan dua memberitahu, sebelum wajah Bilal tular tanpa kebenaran, anak sulungnya itu sudah biasa mengikuti mereka suami isteri pergi ke mana-mana tanpa perlu menyorok wajahnya.
Namun, katanya, sebelum itu semua peminat yang terserempak menunjukkan perasaan hormat dengan tidak merakam mahupun menularkan imej bayi di media sosial tanpa kebenaran.
“Waktu Bilal dulu (sebelum insiden wajah tular), kami pergi saja ke mana-mana termasuk kompleks beli-belah, tak adalah sampai perlu kami nak tutup muka anak dengan kain guni... kami tak sorok pun.
"Baru-baru ini juga, kami bawa dia ke majlis rumah terbuka yang tak disangka ramai orang.
“Selalunya mereka yang tahu pasal kesediaan kami untuk kongsi wajah anak tunjukkan perasaan hormat dan tak ambil kesempatan,” katanya.
Ada masa yang sesuai
Neelofa berkata demikian ketika ditemui pada majlis meraikan kolaborasi Disney x Naelofar - Aladdin di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Terdahulu, Neelofa mengakui dia tersinggung apabila ada pihak mendedahkan wajah Bilal di media sosial serta menyifatkan perbuatan itu sebagai langsung tidak menghormati perasaannya dan suami.
Dia juga rasa terkilan kerana tidak dapat mendedahkan wajah anaknya sendiri.
Neelofa dan Haris bernikah pada 27 Mac 2021. Pasangan itu menyambut kelahiran Bilal atau nama penuhnya Muhammad Bilal pada 29 Januari 2022.
Bagi Neelofa, tiada salahnya sekiranya mereka ingin menunggu waktu yang benar-benar dirasakan bersesuaian sebelum membuat pendedahan wajah anak kedua itu nanti.
“Ada segelintir artis langsung tak tunjuk wajah anak mereka hingga masa yang dirasakan benar-benar bersesuaian untuk pendedahan.
“Isu ini mudah saja sebenarnya, biar kami dedah wajah anak pada waktu yang bersesuaian seperti majlis meraikan ulang tahun misalnya, ” kata Neelofa.
Sementara itu, mengulas kolaborasi Disney x Naelofar - Aladdin, usahawan itu berkata, produk yang dikeluarkan biasanya mendapat permintaan ramai khususnya pengumpul edisi jenama berkenaan.
Katanya, peminat biasanya teruja untuk membeli produk yang menjalin kolaborasi dengan Disney kerana mereka menggemari karakter animasi yang dipromosikan.
“Untuk Disney, kita memang ada pengikut tersendiri. Peminat jadi teruja kerana ia adalah keluaran jenama itu terutama mereka yang suka mengumpul produk-produk Disney,” katanya.