malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Proses lafaz talak Syamsul pada Puteri Sarah 'terbantut'
ADS

Saman terhadap Ira Kazar dan keluarganya yang tidak ditarik balik, serta pengurangan jumlah nafkah anak menjadi 'penghalang' pengarah sensasi Syamsul Yusof melafazkan cerai terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini.

Pasangan itu sepatutnya merekodkan persetujuan dan penyelesaian yang dicapai dalam satu pertemuan terdahulu sebelum diikuti dengan Syamsul melafazkan talak.

Bagaimanapun, selepas kes itu disebut di hadapan hakim syarie Akmaluddin Ilyas, peguam mewakili Puteri Sarah, Akberdin Abdul Kader, memaklumkan mereka gagal mencapai persetujuan ke atas draf penyelesaian yang dipersetujui.

Berikutan tiada lafaz cerai daripada Syamsul, 38, prosiding dijangka akan diteruskan dengan laporan jawatankuasa pendamai (JKP).

Mahkamah kemudian menetapkan 25 Mei ini untuk sebutan semula kes selain laporan JKP yang telah disempurnakan kedua-dua belah pihak.

Untuk rekod, pada 30 Jun tahun lalu Puteri Sarah memfailkan satu tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung isu gangguan yang dialaminya.

Pada 24 Jun Puteri Sarah mendapatkan perintah injuksi supaya Ira Kazar (selaku defendan) berhenti meluahkan atau menyebarkan apa-apa bentuk gangguan di sosial media atau di mana-mana platform sama ada dirinya atau yang berkaitan dengan dirinya.

Sementara itu, Mohd Azmi Rais yang mewakili Syamsul memaklumkan Puteri Sarah telah meminda beberapa terma dalam draf persetujuan tersebut.

“Apabila diserahkan draf persetujuan, kami dapati terdapat perubahan antaranya plaintif (Puteri Sarah) masih ingin meneruskan tindakan saman terhadap Ira Kazar dan keluarganya.

“Sarah juga meminta jumlah mutaah yang tinggi yang tidak dapat dipersetujui oleh defendan (Syamsul),” katanya.

Kemuka bukti baru

Dalam prosiding terdahulu, mahkamah sama menetapkan hari ini untuk Syamsul - atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof - melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah secara baik mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Mahkamah menetapkan prosiding lafaz cerai dibuat hari ini selepas peguam kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baru dan penyelesaian.

Bagaimanapun terma-terma penyelesaian hanya akan dimaklumkan pada tarikh tersebut, antaranya membabitkan hadanah, nusyuz, mutaah, nafkah, idah dan harta sepencarian.

Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014. Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah, 37, mula diperkatakan sejak empat tahun lalu tetapi anak kepada penerbit terkenal, Yusof Haslam itu hanya mengunci mulutnya.

Hanya pada 6 Jan lalu Syamsul mengaku sudah menikahi Ira Kazar yang juga anak kepada pelakon veteran Kazar Saisi di Thailand.

Puteri Sarah yang berlakon dalam drama Sabarlah Duhai Hati itu, kemudiannya memfailkan permohonan cerai daripada Syamsul pada 16 Jan.

Antara alasan dikemukakan Puteri Sarah selaku plaintif untuk bercerai ialah sudah tiada persefahaman dan telah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.

Pada 7 Mac, mahkamah kemudiannya memerintahkan pasangan itu untuk melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.

Pada prosiding itu, Puteri Sarah juga mengemukakan bukti baru untuk mengukuhkan dakwaan dia pernah dipukul oleh suaminya, Syamsul pada 2020.

Kata Puteri Sarah, kejadian itu meletakkan dia dalam keadaan tidak ada pilihan kecuali keluar dari rumah kelamin mereka.

Pada 21 Mac lalu, Syamsul memfailkan permohonan nusyuz terhadap Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Pengarah dan pelakon filem Munafik itu mendakwa Puteri Sarah sering menghubungi bekas kekasih yang berstatus suami orang, hingga mengganggu keamanan rumah tangga mereka.

Pada 24 Mac lalu, selepas proses JKP berlangsung di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mereka mendakwa ia gagal menemui jalan penyelesaian.

Aktres itu berkata, tiada perkara yang perlu dirunding atau dibincangkan lagi memandangkan hatinya tertutup untuk berdamai selepas nekad mahu bercerai.

Syamsul pula selaku defendan sebelum ini memaklumkan enggan menceraikan Puteri Sarah kerana yakin rumah tangga mereka boleh diselamatkan, selain masih menyimpan perasaan sayang terhadap isteri pertamanya itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen