malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Lisa Surihani gementar berdepan jemaah umrah semasa Ramadan
ADS

Peluang mengerjakan ibadah umrah semasa Ramadan dianggap pelakon Lisa Surihani sebagai suatu pengalaman cukup istimewa buatnya, walaupun ia bukan perjalanan pertamanya ke Tanah Suci.

Kata Lisa Surihani, banyak perkara baru ditimba sepanjang perjalanan tersebut, antaranya apabila berdepan begitu ramai pengunjung dan jemaah umrah dari serata dunia.

“Ini adalah umrah ketiga saya lakukan. Walaupun bukan yang pertama, bagi saya ia cukup istimewa kerana julung kali saya kerjakan ibadah ini semasa Ramadan.

“Perubahan waktu juga cukup terasa kerana masa untuk tidur dan makan itu bertukar.

“Paling dirasai, apabila melihat begitu ramai umat manusia, gementar juga. Saya dan jemaah lain dimaklumkan terdapat jutaan jemaah umrah sepanjang Ramadan,” katanya.

Lisa ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta Hong Leong Bank Bhd serta Hong Leong Islamic Bank Bhd di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.

Turut dilantik sebagai duta jenama baru bank berkenaan ialah seorang lagi pelakon, Alif Satar.

Menurut Lisa, 37, beberapa asatizah dan kenalan turut berpesan kepadanya agar sentiasa reda walau apa jua situasi berlaku apabila berpeluang mengunjungi tanah suci itu pada Ramadan.

“Apabila astizah dan kenalan dapat tahu saya bakal berangkat mengerjakan umrah semasa Ramadan, mereka sempat menitipkan pesan agar saya sentiasa reda dengan cabaran yang dilalui.

“Misalnya, jika terkejut dengan keadaan ramai manusia, hendaklah reda. Alhamdulillah, segala urusan saya di sana dipermudahkan, tiada halangan,” kongsinya dalam nada gembira.

Ditanya mengenai persediaan Aidilfitri, isteri pengarah dan pelakon Yusry Abdul Halim itu berkata, segalanya disiapkan sebelum dia berangkat ke Tanah Suci.

Katanya, dia tidak mahu urusan perayaan menganggu tumpuannya untuk mengerjakan ibadah.

“Macam rasa cepat saja dah nak habis Ramadan kali ini. Sebenarnya, sebelum Ramadan lagi saya dah berjaya siapkan segala persediaan.

“Bagi saya, tak boleh tunggu lepas habis kerjakan umrah sebab nanti tak fokus pada ibadah.

“Selepas umrah juga akan ada komitmen lain seperti nak fokus pada 10 Ramadan terakhir. Saya terfikir, kalau ditangguh-tangguh, bila pula nak siapkan apa yang patut untuk keluarga nanti,” katanya.

Untuk rekod, Lisa Surihani berangkat menunaikan umrah pada 22 Mac dan tiba semula di negara ini pada 3 April lalu.

Lihat Komen