malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Mona Allen bertudung sebab tunai nazar dalam diam
ADS

Selepas lebih tiga tahun banyak berkongsi imej bertudung, pelakon Mona Allen akhirnya mengakui dia mengubah penampilan sebelum ini bagi menunaikan nazar kerana hajatnya tercapai.

Kata Mona, dia berhajat untuk bertudung sekiranya dikurniakan zuriat selepas mendirikan rumah tangga dengan Pekin Ibrahim.

“Saya bernazar nak pakai tudung jika diberikan cahaya mata pertama,” katanya.

Namun, menurut pemilik nama asal Munna Hafiraneza Allen itu, Pekin langsung tidak tahu mengenai nazar tersebut.

Malah kata Mona, 37, suaminya yang juga pengarah dan pelakon itu juga tidak pernah memaksa dia untuk mengenakan hijab.

“Suami pun tak tahu saya bernazar. Dia hanya berpesan agar saya tak membuat sebarang pengumuman dalam media sosial sekiranya ingin bertudung.

“Dia bimbang sekiranya saya dikecam jika tiba-tiba berubah angin,” katanya.

Mona berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran produk terbaru keluaran syarikat Pekin, Little Joe Mesra Car Air Freshener di Petronas Jalan Ayer Kolam Lama, Ampang, baru-baru ini.

Mona Allen bersama Pekin Ibrahim

Terdahulu, Mona mengundang perhatian umum apabila banyak berkongsi imej dirinya di Instagram dengan memakai tudung.

Pelakon kelahiran Sarawak itu berkahwin dengan Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim pada 7 Dis 2018.

Mengulas lanjut, Mona bagaimanapun berkata dia belum bersedia untuk mengatakan dirinya sudah berhijab sepenuhnya sebaliknya mengakui dia masih dalam fasa memperbaiki penampilannya.

Sementara itu, mengulas perjalanan karier yang dilihat seakan-akan terhenti sejak berkahwin, Mona berkata, dia terpaksa 'perlahan' buat sementara waktu bagi memberi sepenuh perhatian kepada anak sulungnya, Petra, yang baru berusia enam bulan.

Katanya, Petra memerlukan perhatian lebih ketika ini kerana masih menyusu.

“Saya belum berhenti dari karier dan sebenarnya tawaran memang banyak cuma saya terpaksa menolak.

“Rasanya kira-kira tujuh bulan saya dah tak berlakon,” katanya.

Ditanya perasaannya menolak setiap tawaran yang mendatang, Mona berkata, dia berlapang dada dengan pilihan hidupnya sekarang.

“Saya tak rasa rugi tolak tawaran berlakon sebab sekarang dah ada anak dan alhamdulillah saya juga terbabit dalam perniagaan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen