Tidak rela dimadukan, isteri pertama Syamsul Yusof, Puteri Sarah meminta suaminya itu untuk “melepaskannya.”
Katanya, ia disebabkan pelakon dan pengarah itu tidak mengajaknya untuk berbincang mengenai rumah tangga mereka hingga kini.
Dalam hantaran dimuat naik di media sosial hari ini, Puteri Sarah berkata, keputusan itu dibuat demi kebaikan mereka bersama.
“Kepada Mohd Shamsul, oleh kerana awak sekat saya sehingga sekarang dan tidak ajak berbincang, saya minta lepaskan saya kerana saya tidak rela dimadu,” tulisnya ringkas.
Terdahulu, Syamsul meleraikan segela spekulasi dengan mengakui sudah bernikah kali kedua dengan wanita sering dikaitkan dengannya, Ira Kazar pada 6 Jan lalu.
Katanya, pernikahan itu dilakukan di Thailand dan berwalikan bapa Ira iaitu pelakon veteran, Kazar Saisi.
Kenyataan itu terus ‘membahang’ apabila ibu Syamsul, Fatihah Ismail menegaskan tidak merestui perkahwinan tersebut selain tidak akan memaafkan Kazar kerana membenarkan pernikahan tersebut.
Pagi tadi, melalui Instagram, Syamsul menulis hantaran yang memohon kedua-dua isterinya untuk kekal bertenang dan memperbanyakkan bersabar.
“Morning! (Selamat pagi) Moga kedua-dua isteriku tenang dan banyakkan bersabar. Doakan yang baik-baik,” katanya.