malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ahmad Idham tak kisah nak 'ditelanjangkan' Mat London
ADS

Ahmad Idham mendakwa 'ancaman' Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Mat London, untuk “menelanjangkan” dia kepada umum berhubung isu berkaitan rasuah hanyalah omong kosong.

Pengarah dan pelakon itu berkata, dia langsung tidak gentar dengan ugutan terbabit kerana yakin dirinya berada di pihak yang benar.

“Dia sembang (cakap kosong)… Dari dulu modal dia sama saja. Apa nak ditakutkan jika kita berani tegakkan kebenaran,” ujarnya kepada Malaysiakini.

Apabila ditanya sama ada namanya benar-benar disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) atau tidak, Ahmad Idham: “Mana ada.”

Perseteruan di antara kedua-dua personaliti itu timbul susulan Ahmad Idham dan bekas Ahli Lembaga Kemajuan Filem Nasional (Finas) Eizlan Yusof, menuduh Mat London menyalahgunakan kuasa bagi menjalankan projek Pameran Hantu Filem yang diadakan bersempena Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) di Melaka.

Pameran itu dikatakan berlangsung dari 29 Nov hingga 1 Dis lalu.

Ahmad Idham, 48, juga beranggapan timbul konflik kepentingan apabila pemberian dana itu membabitkan Mat London yang juga seorang daripada ahli Perbadanan Finas.

Justeru, Ahmad Idham menggesa Finas tampil menjernihkan keadaan dengan menjelaskan bagaimana seorang presiden persatuan layak menerima wang berjumlah RM40,000.

Susulan itu, pengarah Impak Maksima terbabit membuat laporan di Balai Polis Ampang Jaya kerana dia mengesyaki ada sesuatu mencurigakan berkaitan pemberian kontrak terbabit.

“Saya smell something fishy (mencurigakan) di Finas. Tapi saya tak boleh dedahkan selanjutnya kerana kes terbabit sedang disiasat, ” katanya..

Sementara itu, Mat London atau nama sebenarnya Ahmad Ibrahim menafikan segala tuduhan dilemparkan Ahmad Idham dan Eizlan terhadapnya.

Namun katanya, dia tidak dapat memberi komen secara terperinci kerana “dinasihatkan” untuk berbuat demikian.

“Saya tak boleh komen. Jika jawab, bermaksud kita layan fitnah atau layan orang yang ada kes-kes SPRM.

"Namun, saya akan telanjangkan dia depan khalayak suatu hari nanti,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen