malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Neelofa terkilan orang sebar wajah anak tanpa izin
ADS

Neelofa menyifatkan individu yang menyebarkan wajah anak sulungnya, Muhammad Bilal di media sosial tanpa izin sebagai tidak menghormati dirinya dan suami, Haris Ismail .

Kata usahawan dan selebriti popular itu, dia tersinggung kerana tidak berpeluang untuk mendedahkan sendiri wajah Bilal.

“Sebagai seorang ibu, tentulah hal itu menyinggung perasaan saya. Kalau orang nampak Bilal di luar, tak mengapa, saya tak halang.

“Tapi bila kongsi di media sosial, nampak dia tidak menghormati saya. Sepatutnya, bagilah saya seorang ibu yang melahirkan buat benda ini (mendedahkan wajah Bilal kepada umum),” luahnya dalam nada kesal.

Pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor itu berkata demikian pada majlis program bual bicara Next To Neelofa musim kedua di Astro, Bukit Jalil hari ini.

Program Next To Neelofa 2 bakal bersiaran menerusi saluran Astro Ria pada 22 Oktober ini jam 10 malam. Antara artis jemputan ialah Ziana Zain, Diana Amir, Lisa Surihani, Tya Ariffin dan Kartini.

Sebelum ini, Neelofa, 33, dan Haris banyak mengundang cakap-cakap belakang apabila pasangan itu hingga kini masih belum bersedia berkongsi wajah Bilal buat peminat sejak kelahirannya.

Penantian peminat akhirnya termakbul apabila seorang pengguna TikTok memuat naik klip video memaparkan wajah seorang budak lelaki sambil didukung seorang wanita dipercayai Neelofa.

Namun, pendedahan itu bukan dilakukan atas kehendak kedua-dua pasangan berkenaan kerana perbuatan itu dibuat curi-curi. Ia dipercayai diambil ketika Neelofa berada di sebuah klinik baru-baru ini.

Individu itu mendedahkan wajah Bilal sambil mengiringi perkongsiannya dengan keterangan: “Akhirnya boleh tengok juga (wajah) Bilal, betul ke ni? Kena saman ke tak ni?”

Bagaimanapun, hasil semakan Malaysiakini hari ini mendapati video tersebut sudah dipadam.

Mengulas lanjut, Neelofa berkata, dia dan Haris atau dikenali PU Riz sudah mempunyai perancangan untuk berkongsi wajah Bilal.

Katanya, mereka sebenarnya hanya menunggu waktu yang sesuai untuk berbuat demikian.

“Memang akan sampai masa itu dan saya dengan suami dah rancang bila masa yang sesuai. Kami nak jadi orang pertama yang buat,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen