malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Namewee kembali dengan lagu 'Katak', Syed Saddiq buat kameo
Diterbitkan:  Aug 13, 2022 8:57 AM
Dikemaskini: 1:26 AM
ADS

Penyanyi rap kontroversi Namewee kembali dengan lagu tentang 'katak politik' dan memaparkan kameo daripada Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam video muziknya.

Video muzik untuk lagu itu, yang hanya bertajuk Katak disiarkan di akaun YouTube Namewee semalam dan ia turut menampilkan kumpulan rap tempatan 5Forty2 dan The Real Masta Clan.

Korus lagu itu merujuk kepada "katak" yang suka melompat "sana sini" dan menjanjikan kekayaan jika seseorang melakukan seperti yang mereka katakan.

Lagu itu juga merujuk kepada "katak di pintu belakang" yang "tiba-tiba muncul dan hilang".

Lagu itu turut memuatkan dua kumpulan rap dalam beberapa bahasa berbeza - Melayu, Mandarin dan Tamil.

Video muzik itu menampilkan Namewee dalam baju dengan gambar katak dan topi katak, serta banyak adegan tujuh lelaki berpakaian sut formal dan bertali leher, memakai topeng katak dan cermin mata hitam, menari di pelbagai lokasi termasuk di sekitar Kuala Lumpur.

Di penghujung muzik video itu, tujuh lelaki berkenaan menari di sebuah restoran bersma Syed Saddiq yang pada mulanya kelihatan sedang makan di situ.

Dalam adegan seterusnya, Syed Saddiq dilihat menari bersama Namewee dan tujuh lelaki itu.

Dalam kredit video itu, Syed Saddiq memberikan ucapan sindiran tentang katak sebagai khazanah negara Malaysia, manakala tujuh lelaki itu berdiri di belakangnya.

“Katak adalah spesies yang dilindungi di Malaysia. Mereka mempunyai IQ yang sangat tinggi dan sangat pandai melompat dengan banyak kolagen dan yang paling penting, mereka ini maha kaya.

“Di bawah jagaan negara kita selama bertahun-tahun, katak terus mengawan tanpa henti, membiak dengan cepat dan bilangannya semakin meningkat.

"Orang harus akui di Malaysia, katak adalah khazanah negara Malaysia," katanya.

Di akhir ucapannya, ketika dia cuba melaungkan 'Hidup Katak', dengan tujuh lelaki itu mengankat Syed Saddiq ke luar skrin.

Ketika berita ini ditulis, video tersebut telah mendapat lebih 200,000 tontonan.

Pada penghujung Julai, rang undang-undang pindaan perlembagaan - digelar rang undang-undang antilompat parti - bertujuan untuk menghalang ahli parlimen daripada bertukar parti telah diluluskan di Dewan Rakyat.

Wakil rakyat lompat parti menjadi topik hangat berikutan Langkah Sheraton pada Februari 2020, yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan tumbang akibat pembelotan beberapa ahli parlimen.

Lihat Komen