Azri Iskandar menegaskan wanita yang bakal menjadi suri hidupnya nanti bukan saja memiliki kelulusan akademik doktor falsafah (PHD) malahan turut bergelar datuk seri.
Pelakon itu berkata demikian gara-gara segelintir pihak membuat andaian dan menuduh bukan-bukan berhubung latar belakang wanita itu.
“Nama dia Datuk Seri Dr Azra Diera. Saya pada awal tak tahu pun tapi Azra secara tak sengaja mengirim mesej perbualan daripada makciknya kepada saya.
“Dia pada ketika tu ingin menunjukkan mesej bahawa makciknya menasihatkan dia supaya tampil ke depan bagi membersihkan imejnya kerana terlalu banyak cerita tak enak berkaitan dirinya.
“Selepas diselidik, rupa-rupanya dia memiliki pangkat Datuk Seri itu kerana banyak melakukan tugas-tugas kebajikan pada masyarakat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Tambah pelakon filem Mat Bond Malaya itu, cuma atas nasihat kedua ibu dan bapa Azra, wajah dan identiti anak mereka hanya boleh dikongsikan sebaik sah kami bernikah.
“Azra seorang yang merendah diri, dengan saya sendiri pun dia tak mahu beritahu mengenai gelaran tu.
“Dia cakap jika pergi ke pejabatnya nanti pekerja-pekerja akan menggelarnya Datuk hanya untuk urusan perniagaan.
Pingat di atas meja
“Tapi saya pun fikir, takkanlah dia nak tipu pekerja-pekerjanya dan bila berada di pejabatnya, saya nampak pingat itu ada diletakkan atas meja,” dakwanya.
Azri pada 23 Jun lalu mendedahkan bakal menghantar rombongan merisik seorang wanita yang memiliki doktor falsafah (PHD) dalam bidang muzik dan juga penulis skrip.
Kenyataan itu mengundang perhatian umum kerana pendedahan dibuat tidak sampai sebulan dari tarikh perceraiannya dengan bekas isteri, Ellie Suriati Omar pada 17 Mei lalu.
Hasil perkongsian hidup selama 19 tahun, Azri dan Ellie dikurniakan dua anak, iaitu Azrell Omar, 18 dan Nur Azreen, 13.
Sebelum menikahi Ellie, Azri mempunyai tiga anak iaitu Muhammad Afiq Iskandar, 31, Farah Qistana, 29, dan Nur Anis Mastura, 27, melalui perkahwinan pertama.
Mengulas perancangannya untuk menamatkan status duda dengan wanita itu, Asri berkata dia sudah bertemu kedua ibu dan bapa Azra di Perlis pada 24 Jun lalu.
Tutur Azri, 54, setakat ini semuanya berjalan lancar selain sudah mendapat “green light” daripada kedua orang tua wanita berkenaan.
“Alhamdulillah, tiada masalah walaupun timbul pelbagai kontroversi. Kedua ibu dan bapa Azra dah bagi green light pada saya.
“Cuma saya belum boleh memberi tarikh rasmi kerana makcik saya yang akan meminangkan dia untuk saya sedang sakit.
“Tunggu bila makcik saya kembali sihat Insya-Allah, segala urusan akan dilangsungkan, doakan urusan kami dipermudahkan,” katanya.