malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Luca Sickta nikah penerbit radio Era Sabah
Diterbitkan:  Mar 3, 2022 5:48 PM
Dikemaskini: 2:22 PM
ADS

Penyanyi duo dan komposer terkenal, Luca Sickta selamat bergelar suami kepada penerbit radio Era Sabah, Nur Robecca Ruth Robert Abdullah hari ini.

Pasangan itu dinikahkan oleh imam masjid berkenaan, Hassan Sapar serta dua saksi.

Luca Sickta atau nama sebenarnya Shameer Ashraf Shahruddin berkata, dia memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi apabila majlis akad nikah berjalan dengan lancar.

“Pada awalnya majlis akad nikah akan diketuai oleh bapa saudara Robecca, tapi malangnya dia disahkan positif Covid-19 dan terpaksa digantikan oleh imam masjid di sini.

“Walaupun berdepan cabaran tapi saya bersyukur kerana majlis akad nikah berjalan dengan lancar. Lagipun majlis pernikahan ni diadakan secara sederhana saja memandangkan kes Covid-19 yang masih tinggi.

“Pernikahan ini adalah satu fasa baru dalam hidup. Saya kini memegang satu tanggungjawab besar sebagai suami selain perlu mendidik isteri dalami agama memandangkan Robecca baru memeluk agama Islam setahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan diedarkan petang tadi.

Luca yang popular dengan lagu 7 Nasihat itu menyerahkan mas kahwin bernilai RM300 manakala tiada pertukaran dulang hantaran antara kedua belah pihak dan memilih untuk merahsiakan jumlah wang hantaran di atas persetujuan kedua belah keluarga.

Menurut Luca, dia mula mengenali Robecca sekitar setahun lalu ketika berada di Kota Kinabalu atas urusan kerja.

“Perkenalan kami memang singkat tapi saya selesa berkawan dengannya kerana kami memiliki pemikiran dan hala tuju yang hampir sama.

“Lagipun hubungan yang dibina bukanlah sekadar cinta monyet atau nak bersuka ria. Umur kami pun sudah mencecah 30-an, jadi fokus kami lebih kepada masa depan dan melalui kehidupan bersama-sama.

“Saya sebenarnya sangat bersyukur kerana hubungan kami mendapat restu kedua ibu bapa Robecca. Malah bapanya sendiri yang memberi galakan dan sokongan untuk Robecca memeluk Islam.

“Cuma sekarang ini tugas saya pula untuk memastikan Robecca mendalami ilmu agama secara perlahan-lahan. Saya pun tidak mahu terlalu tegas dalam mendidiknya, tapi hal yang wajib dia perlu ambil tahu,” katanya.

Terdahulu, berita mengenai perkahwinan pasangan itu dihebahkan melalui akaun Instagram radio Era.

Namun, yang menjadi lucu adalah apabila ramai tersalah sangka Luca adalah seorang lagi penyanyi popular, iaitu Sufian Suhaimi.

Ia gara-gara wajahnya tidak jelas kelihatan disebabkan memakai pelitup muka pada awal.

Selain Sufian, ramai juga yang keliru wajah penyanyi rap itu dengan seorang lagi artis iaitu Caprice.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen