malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
'Maaf, tuduhan gangguan seksual itu cuma imaginasi saya'
Diterbitkan:  Feb 12, 2022 7:18 PM
Dikemaskini: 12:33 PM
ADS

Pemilik akaun Twitter yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang penyampai radio Indonesia, Gofar Hilman tampil membuat video permohonan maaf kepada lelaki berkenaan.

Pengakuan itu diucapkan melalui rakaman video pendek selama kira-kira satu minit yang dimuat naik melalui akaun Twitter @quweenjojo.

"Saya, Hafsyarina Sufa Rebowo atau Syerin ingin meminta maaf kepada Gofar Hilman, keluarga besar Gofar Hilman, dan masyarakat luas atas hantaran saya tanggal 8 Jun 2021 di akaun Twitter @quweenjojo, yang menuduh Abdul Gofar Hilman telah melakukan pelecehan (gangguan) seksual terhadap saya," katanya dalam rakaman itu.

Menerusi pengakuan yang diulang kicau ribuan kali itu, wanita berkenaan yang ditemani kedua ibu bapanya berkata gangguan seksual itu sebenarnya tidak berlaku.

"Itu adalah tuduhan yang tidak benar, dibuat berdasarkan delusi dan imaginasi saya. Kejadian pelecehan itu sebenarnya tidak ada," sambungnya.

Katanya, ketika kejadian yang didakwa berlaku pada 19 Ogos 2018, dia juga minum minuman keras dan berada di bawah pengaruh alkohol.

"Jadi pelecehan seksual Gofar itu sejujurnya tidak terjadi. Sejujurnya, ada rasa gelisah beberapa waktu setelah saya membuat tweet itu dan ingin meminta maaf ke Gofar Hilman kerana sudah terlanjur.

"Untuk itu, saya, dan juga kedua orang tua saya, memohon pintu maaf yang sebesar-besarnya kepada Gofar dan keluarga, juga seluruh pihak yang merasa dirugikan atas kesalahan yang pernah saya perbuat. Saya sudah belajar banyak dari kekeliruan ini," tegasnya.

Dikaitkan dengan filem Penyalin Cahaya

Permohonan maaf oleh Syerin itu mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat Indonesia di media sosial.

Ramai warga maya tidak mempercayai pengakuan Sherin dan mengatakan wanita itu telah dipaksa berbuat demikian.

Malah tidak kurang yang mengaitkan kejadian itu dengan jalan cerita dalam filem Penyalin Cahaya yang berkisar mengenai kes gangguan seksual dihadapi seorang mahasiswi.

Sementara itu, Gofar Hilman menerusi Twitter berkata dia telah bertemu dengan Syerin melalui proses mediasi yang dibantu oleh pihak polis Indonesia.

Menurutnya, proses mediasi berjalan baik dan dirinya telah memaafkan Syerin.

"Bahkan, sebelum saya memaparkan bukti apa pun atau memberikan pembelaan, yang bersangkutan pun secara sedar dan tanpa paksaan langsung mengakui bahawa cuitan yang dia tuliskan di Twitter pada tanggal 8 Jun 2021 tidak benar di depan saya dan pihak berwajib," tulisnya.

Sebelum ini Syerin menulis pengalamannya diganggu secara seksual oleh Hilman yang juga seorang Youtuber dan pelakon, sehingga dirinya menjadi trauma.

Dia mendakwa kejadian itu berlaku di hadapan orang ramai dalam satu acara di Malang.

Wanita itu mendakwa dia sempat menjerit ketika kejadian namun diejek beberapa lelaki di situ.

Dia turut mendakwa Gofar memasukkan tangan ke dalam bajunya dan menyentuh bahagian tubuhnya yang sensitif, sehingga perbuatan tersebut dihentikan seorang lelaki yang berada berhampiran.

Dakwaan itu sebelum ini tular di media sosial.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen