WAWANCARA | Pengkritik filem, Hassan Abd Muthalib berpandangan sudah tiba masanya untuk industri perfileman tempatan melupakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Hassan berkata ini kerana individu yang dilantik untuk menerajui Finas tidak tahu apa tanggungjawab mereka dalam agensi terbabit.
"Kalau pasal Finas senang saja, lupakan Finas. Dia orang tak tahu apa sebenarnya yang patut dibuat.
"Kerana apa? Senang sajalah, ambil mana-mana pegawai kanan dan suruh dia berdiri tanpa ada nota di tangan, bercakap tentang filem Malaysia.
"Saya ada kawan dekat Itali, dia ini akan pergi ke seluruh Asia untuk pilih filem-filem dan saya duduk dengan dia, dia boleh bercerita dengan saya pasal Rahim Razali dan sebut nama filem serta apa cerita sebenar dalam filem dan banyak lagi pengarah-pengarah tanpa ada nota (di tangan).
"Tapi di Malaysia, maaf cakaplah.. Kalau kamu jadi ketua dalam satu-satu organisasi, kamu harus tahu kamu punya subjek supaya bila kamu hadir satu keramaian, katalah orang daripada luar negara datang dan bercakap dengan kita, kita boleh bercakap pasal filem Malaysia.
"Barulah dia orang yakin, ini bila ada keramaian sama ada dia orang tak datang atau dia sembunyikan diri.
"Kemudian bab bahasa Inggeris, kita nak pergi antarabangsa tapi cakap bahasa Inggeris tak tahu, apa punya banggangnya. Sebab itu saya langsung tak campur sejak tahun 2006 sampai sekarang," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui baru-baru ini.

Hassan juga mendakwa kewujudan Finas sejak 41 tahun lalu hanya untuk kepentingan kelompok tertentu.
Kata Hassan, itu juga menjadi punca kenapa dia mula mengasingkan diri daripada Finas.
"Saya hairan, 41 tahun kewujudan Finas yang mana saya terlibat daripada awal, banyak tolong dalam panel dan sebagainya tapi pada tahun 2006 saya asingkan diri.
"Kerana apa? Kerana dia orang (Finas) lantik ketua pengarah baru, orang Umno dan daripada situlah Finas itu wujud.
"Dia orang 'sapu duit'. Kamu tahu siapa jadi ahli lembaga Finas? Apa kerja dia? Satu benda dia tak tahu," katanya.

Mengulas lanjut Hassan yang sinonim dengan gelaran Bapa Animasi berkata pengurusan agensi penerbitan filem yang dulu dikenali sebagai Filem Negara Malaysia juga semakin merudum.
"Saya tahu kenapa Filem Negara merudum, sehingga sekarang dengan Finas tak boleh pakai. Maksudnya campur tangan (dalam pengurusan).
"Animasi bermula di Filem Negara kerana adanya kelengkapan dan kebetulan saya ada di sana, maka saya tahulah sedikit sebanyak sejarahnya kerana saya selidik.
"Tahun 1995 saya pencen awal, saya kata umur saya 49 kalau saya tunggu ini pun saya pun tak boleh maju dan saya pun tak boleh majukan Filem Negara.
"Kerana kakitangannya hanya fikir gaji saja, bila nak ambil cuti, apa motokar nak beli, itu saja kerja dia orang. Padahal, mereka itu adalah orang yang (bertanggungjawab) memulakan filem di Kuala Lumpur bukan di Singapura," katanya.
Ujar Hassan, dia juga pernah disindir pihak tertentu ketika baru saja dinaikkan pangkat gara-gara tidak memberikan saguhati kepada individu yang didakwa mempromosinya untuk kenaikan pangkat itu.
Hassan juga turut melahirkan rasa kesal apabila segelintir penggiat seni berbakat tidak pernah diiktiraf sumbangan mereka.
"Pengarah tersohor U-Wei Haji Saari paling top (terkemuka) tapi tak diiktiraf. Melayu tak angkat Melayu. Sebab itu saya kata lupakan Finas," katanya.

