malaysiakini logo
story-image
ADS

Persembahan mantap Aliff Aziz pada pentas akhir serta konsisten sepanjang minggu melayakkan penyanyi itu dinobatkan juara Gegar Vaganza musim ke-8 (GV8) di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya, malam tadi.

Aliff mengetepikan saingan seperti Nikki Palikat, Aweera, Adibah Nor, Suki Low dan Azan Scan pada malam yang membawa tema Akhirnya Kini Pasti itu.

Kemenangan itu membolehkan Aliff, 30, membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000 dan piala.

“Alhamdulillah segala puji bagi Allah. Rakan-rakan yang berada di pentas ni, mereka semua dah buat terbaik. Terima kasih kepada keluarga dan juri-juri semua.

“Terima kasih kepada yang mendoakan saya, kemenangan ini milik anda semua,” katanya berucap di atas kemenangan itu.

Naib juara pula disandang Nikki, sekali gus melayakkannya menerima hadiah wang tunai RM50,000 dan piala.

Suki Low terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan piala.

Sementara itu, berada di tangga keempat dan kelima, Adibah Noor serta Azan Scan masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000 dan RM15,000 serta piala.

Nasib pula tidak menyebelahi Aweera apabila berada di kedudukan terakhir pada pertandingan itu. Dia membawa pulang wang RM10,000 dan piala.

Persembahan peserta pada peringkat akhir diadili oleh juri terdiri daripada Ramli MS, Hetty Koes Endang, Syafinaz Selamat dan juri jemputan, Joe Flizzow.

Program akhir GV8 dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Konsert akhir dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada bekas peserta GV8 yang tersingkir iaitu Bandi Amuk, Ani Mayuni, Fazley Yaakob, Upiak Isil Sa.Ya, Shidee dan Nico.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen