Penyanyi, ahli perniagaan dan aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi mengakui yang dia seakan tidak percaya bahawa dirinya kini sudah bergelar seorang isteri.
Memanjatkan rasa syukurnya itu, Heliza berkongsi perasaannya di Instagram malam tadi.
“Kun Fa Ya Kun. Jadilah maka terjadilah. Jika Allah SWT menghendaki sesuatu, maka apa pun akan terjadi.
“Maka dengan izin dan kekuasaan Allah, maka terjadilah kami sebagai pasangan Zauj dan Zaujah. Allahuakbar. Kalau anda rasa terkejut, kami pun sama,” katanya.
Terdahulu, imej Heliza, 35, yang tular diijabkabulkan dengan seorang ahli perniagaan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya mengejutkan banyak pihak.
Suami Heliza, Mahadi Badrul Zaman merupakan pengasas dan presiden AUF MBZ Concortium iaitu syarikat yang menawarkan perkhidmatan pelaburan kewangan.
Pada masa sama, Heliza turut berterima kasih kepada suaminya itu kerana sudi memperisterikannya.
“Jazakumullahu khayr buat Zauj @mahadibz sudi meZaujahkan diriku,” katanya.

