malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Roh karya bajet murah, serlah bakat berkualiti
ADS

Biarpun tanpa menggunakan khidmat pelakon yang memiliki sejuta pengikut, produksi Kuman Pictures Sdn Bhd masih boleh berbangga apabila karya terbitan mereka, Roh berjaya mengungguli Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) semalam.

Selain itu, kata penerbitnya, Amir Muhammad, sudah menjadi pegangan syarikat tersebut untuk menerbitkan filem berdasarkan peruntukan yang berskala kecil.

“Falsafah kami di Kuman Pictures adalah tak hasilkan filem mahal tapi buat karya dengan bajet rendah. Tak nak banyak lokasi dan tak nak banyak pelakon.

“Dari segi pemilihan pelakon pula ia dibuat sebab mereka boleh berlakon dan bukannya atas dasar mereka ada berapa juta pengikut,” katanya mengulas kemenangan Roh malam tadi.

Pada masa sama, Amir berhasrat untuk mengembalikan kegemilangan era filem indie, atas alasan itu, dia membuka ruang untuk pengarah Roh, Emir Ezwan bereksperimentasi dengan kreativiti sendiri.

“Bila saya mulakan Kuman Pictures pada 2018, saya nak kembali ke era indie di mana filem dibuat dengan cara sendiri dan kita beri kebebasan kreatif kepada pengarah.

“Ini kerana pengarah adalah kuasa yang paling kreatif dalam sesebuah filem. Kita lihat dalam Roh ialah hasil imaginasi Emir.

“Dia seorang yang sedikit pelik dan kami tak masuk campur dalam urusan kreativitinya. Daripada segi pengisian, mereka digalakkan untuk bermain dalam taman sendiri,” katanya.

Roh wakil ke Oscar

Amir berkata demikian ketika ditemui pada FFM31 yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur malam tadi.

Roh turut diumumkan menggondol lima lagi anugerah melalui kategori lain iaitu Pelakon Kanak-Kanak Terbaik yang dimenangi Putri Qaseh, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Junainah M Lojong), Lakon Layar Terbaik (Emir Ezwan), Skor Muzik Asal Terbaik (Reinchez Ng) dan Rekaan Busana Terbaik (Tengku Syahmi).

Kejayaan itu membolehkan Roh turut membawa pulang geran Dana Kandungan Digital bernilai RM500,000.

Sebelum ini, Roh dipilih mewakili Malaysia ke Anugerah Academy ke-93, atau Oscars, bagi kategori Anugerah Filem Cetera Antarabangsa itu dihasilkan dengan bajet RM360,000 sahaja.

Filem genre seram itu berkisahkan kehadiran seorang kanak-kanak perempuan aneh yang membawa ramalan ngeri dan kejadian aneh kepada sebuah keluarga miskin tinggal di hutan.

Turut menjayakan filem itu adalah pelakon Farah Ahmad, Namron, Harith Haziq dan Mhia Farhana.

Roh menewaskan beberapa pencabar lain seperti filem Sangkar, Fly By Night, Ejen Ali The Movie dan The Garden of Evening Mists.

Mengulas pengalamannya cuba untuk memasarkan Roh sebelum ini, kata Amir, dia terkejut apabila berdepan beberapa pengedar yang membuat interpretasi sendiri bahawa filem itu tidak laku sekiranya dijual di pawagam.

Menurutnya, ada juga segelintir pihak berpendapat Roh mungkin bakal diharamkan oleh Lembaga Penapis Filem menuduhnya 'ibarat memaparkan kisah si iblis mengajar umat Islam.'

“Ada beberapa pengedar kata filem ni orang tak akan suka, ada yang tak berapa faham dan ada juga yang akan karya tu akan diharamkan.

“Memang agak terkejut dengan respons berkenaan, tapi saya juga tidak sangka apabila ditayangkan, ada penonton yang sukakan filem tu.

“Apa boleh saya katakan adalah, jika kita berikan variasi pada penonton, mungkin akan ada yang sambut, jangan pandang rendah pada minat mereka dan lihatlah dari sudut universal,” katanya.

Lihat Komen